Larangan sementara penggunaan soket dalam bas ekspres

Larangan sementara penggunaan soket dalam bas ekspres

Menteri pengangkutan berkata larangan itu sehingga selesai siasatan berkait kematian remaja lelaki terkena renjatan elektrik dalam bas di Pulau Pinang 1 Nov lalu.

renjatan
Seorang remaja lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba mengecas telefon bimbit di soket dalam sebuah bas ekspres di Penang Sentral pada 1 Nov lalu. (Gambar X)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pengangkutan memaklumkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) sudah mengeluarkan larangan sementara penggunaan soket dalam semua bas ekspres susulan insiden renjatan elektrik sehingga meragut nyawa seorang remaja lelaki di Pulau Pinang.

Menteri Loke Siew Fook berkata larangan itu dibuat sehingga selesai siasatan penuh yang dijalankan pasukan petugas khas.

“Sekarang semua bas ekspres (yang) ada soket ini dilarang untuk digunakan (buat) sementara waktu.

“(Kita) nak dapatkan punca sebenar dulu…apakah punca (berlaku) insiden ini,” katanya semasa waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) yang meminta Kementerian Pengangkutan memaklumkan apakah langkah segera diambil susulan insiden itu.

Pada 3 Nov lalu, Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan petugas khas dan menggantung serta-merta operasi bas terbabit insiden renjatan elektrik sehingga meragut nyawa seorang remaja lelaki pada 1 Nov.

Loke berkata, pasukan petugas khas itu terdiri Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Apad dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba mengecas telefon bimbit di soket dalam sebuah bas ekspres di Penang Sentral.

Sementara itu, Loke berkata kementeriannya akan meneliti semula SOP penggunaan soket elektrik bagi perkhidmatan bas ekspres berikutan masa ini tiada piawaian khusus mengenainya.

Beliau berkata, antara langkah diambil adalah melihat SOP sedia ada dan bekerjasama dengan Suruhanjaya Tenaga untuk mewujudkan piawaian bagi penggunaannya khusus untuk perkhidmatan bas ekspres.

“Soket dalam kapal terbang atau kereta api, seperti perkhidmatan tren elektrik (ETS) memang ada piawaiannya. Ini mesti dipatuhi (misalnya) oleh syarikat pembuat kapal terbang.

“Tetapi untuk bas, (setakat ini) tidak ada piawaian tersendiri. Sehubungan itu, dalam siasatan kita (berkaitan kes renjatan elektrik), bagi pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan lain-lain, soket tidak dimasukkan sebagai sebahagian daripada pemeriksaan dijalankan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.