MoU peruntukan: Wakil rakyat PN tak boleh runding secara individu, kata pemimpin PAS

MoU peruntukan: Wakil rakyat PN tak boleh runding secara individu, kata pemimpin PAS

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sebarang rundingan dengan kerajaan mesti melalui parti.

Pembangkang sebelum ini diminta mengemukakan cadangan baharu bagi menyediakan MoU peruntukan untuk Ahli Parlimen PN. (Gambar Parlimen Malaysia)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dilarang berunding secara individu dengan kerajaan berhubung draf memorandum persefahaman (Mou) berkait peruntukan untuk pembangkang, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata rundingan harus melalui PN yang telah menolaknya pada 15 Sept lalu dengan alasan beberapa syarat bertentangan Perlembagaan Persekutuan selain mendakwa bimbang menjejaskan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

“Sebarang rundingan mesti melalui parti dan syarat mesti dimaklumkan kerana semua Ahli Parlimen terikat dengan parti diwakili.

“Demikian juga mana-mana Ahli Parlimen ingin berunding mesti maklumkan kepada parti bagi mengelak salah faham dan mengundang pelbagai prasangka,” katanya kepada FMT.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata kerajaan masih terbuka berbincang dengan Ahli Parlimen pembangkang ‘secara individu’ berhubung draf memorandum persefahaman (MoU) berkait peruntukan untuk mereka.

Beliau yang mewakili kerajaan bagi rundingan itu berkata perbincangan secara berkumpulan tidak lagi dibenarkan memandangkan PN telah membuat keputusan menolaknya.

Pada 16 Sept lalu, Fadillah mendedahkan dua draf MoU sebagai maklum balas kepada pihak pembangkang yang dikatakan lebih gemar membuat kenyataan melalui media, bagi membuktikan ketelusan kerajaan, selain mengalu-alukan cadangan baharu atau maklum balas.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa bulan lalu mendedahkan hanya Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dari Muda memberi maklum balas rasmi namun PN pula bersikap sebaliknya.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Afnan Hamimi Taib Azamudden turut senada sambil menegaskan kemenangan wakil rakyat mereka atas nama PN dan sebarang rundingan perlu melaluinya bukan secara individu.

Ahli Parlimen Alor Setar itu turut mendakwa cubaan kerajaan berunding secara peribadi seolah-olah mahu memecahkan pembangkang seperti dilakukan terhadap enam wakil rakyat Bersatu yang mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Mereka adalah Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

“Peruntukan hak Ahli Parlimen. Kedah, Kelantan dan Perlis beri peruntukan kepada pembangkang tanpa ada rundingan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.