Polis terima laporan pelajar UPNM cedera dipijak pelatih

Polis terima laporan pelajar UPNM cedera dipijak pelatih

Seorang pelajar Tahun 1 berumur 19 tahun dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.

Pada 8 Nov polis terima laporan berhubung kejadian mendatangkan kecederaan parah kepada seorang pelajar UPNM pada 21 Okt.
PETALING JAYA:
Polis menerima satu laporan berhubung kejadian mendatangkan kecederaan parah kepada seorang pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Dalam kejadian dilaporkan berlaku pada 21 Okt itu, seorang pelajar Tahun 1 berumur 19 tahun dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak oleh seorang pelatih Tahun 3.

Kejadian dilaporkan berlaku pada 10.45 malam, ketika mangsa berada di tepi padang kawad setelah selesai panggil nama.

Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 8 Nov, 8.40 malam.

Mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di hospital, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan, iaitu sengaja menyebabkan cedera parah.

“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan dilengkapkan,” menurut kenyataan.

Bernama melaporkan tular di laman sosial X apabila seorang wanita mempersoalkan kewajaran tindakan mahasiswa UPNM yang didakwa membuli selain mendakwa adik saudaranya dipijak hingga patah tulang rusuk.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Khaled Nordin menegaskan kejadian berkenaan tidak wajar, malah merosakkan imej UPNM dan institusi pendidikan tinggi.

“Susulan laporan polis yang dibuat, Kementerian Pertahanan menyerahkan perkara ini kepada pihak polis untuk menyempurnakan siasatan,” katanya.

Beliau mengulangi pendirian pihaknya akan memberi sepenuh kerjasama dan perhatian dalam perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.