Tambah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak selepas PRU16, kata TPM

Tambah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak selepas PRU16, kata TPM

Perkara itu tidak sempat dilaksanakan pada PRU16 kerana beberapa aspek perundangan perlu diteliti terlebih dahulu, kata Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata, kerajaan menjangkakan laporan daripada penasihat undang-undang berhubung pertambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak pada suku pertama tahun depan. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Pelaksanaan pertambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak hanya dimuktamadkan selepas PRU, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Hal ini berikutan beberapa aspek perundangan perlu diteliti terlebih dahulu sebelum dapat dipinda di Dewan Rakyat, katanya.

“Tak sempat (dilaksanakan pada PRU16). Setakat ini kita tidak menetapkan sebarang tempoh bagi pelaksanaan tambahan kerusi itu tetapi kita bagi masa untuk mereka (Jabatan Peguam Negara, Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah dan Sarawak) untuk berbincang dari sudut perundangan.

“Nanti suku pertama tahun depan, baru kita akan mendapat laporan daripada ketiga-tiga penasihat undang-undang untuk dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63),” katanya kepada pemberita di Dewan Serbaguna Kampung Semariang Batu hari ini .

Setakat ini, katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah selesai menjalankan kajian bagi perkara berkenaan hanya di Sarawak.

Isu tuntutan kerusi Parlimen dibincangkan dalam mesyuarat MTPMA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada September lepas.

Kali terakhir persempadanan semula melibatkan kerusi Parlimen dilakukan pada 2006, dengan Sabah dan Sarawak kini masing-masing mempunyai 25 dan 31 ahli Dewan Rakyat, iaitu 56 kerusi atau kira-kira 25% daripada 222 kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.