9 dirakam keterangan kes pelajar UPNM dipijak senior

9 dirakam keterangan kes pelajar UPNM dipijak senior

Media melaporkan seorang pelajar tahun satu retak tulang rusuk dan belakang akibat dipijak senior tahun tiga UPNM.

Rusdi Mohd Isa berkata suspek buli pelajar Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) akan tampil di IPD Cheras petang ini untuk dirakam keterangan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis sudah mengambil keterangan sembilan individu bagi membantu siasatan kes seorang pelajar Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) retak tulang rusuk dan belakang dipercayai dipijak senior.

“Setakat ini, sembilan individu telah dirakam percakapan, manakala suspek pula dijangka tampil di IPD Cheras petang ini untuk dirakam keterangan,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa menurut Sinar Harian.

Semalam, polis mengesahkan menerima laporan kejadian itu pada 8.40 malam Jumaat lalu.

Rusdi dilaporkan berkata, kejadian pada 10.45 malam 21 Okt lalu berlaku ketika pelajar tahun satu itu berada di tepi padang kawad selepas selesai panggil nama.

Lelaki 19 tahun itu dilaporkan retak tulang rusuk dan belakang akibat dipijak seorang pelatih tahun tiga UPNM. Mangsa sedang dirawat di hospital.

Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.