Ahli Parlimen tawar bantu saksi kes rasuah libat beberapa Adun

Ahli Parlimen tawar bantu saksi kes rasuah libat beberapa Adun

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa saksi menghubunginya sebelum sidang parlimen berakhir pada pertengahan Disember ini.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata beliau sedia mengemukakan bukti itu dan nama mereka yang terbabit di Parlimen.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen kerajaan menawarkan bantuan untuk membantu seorang saksi berkait kes beberapa Adun membincangkan rasuah melibatkan lesen projek.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menawarkan bantuan itu selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan ia tidak boleh memberikan jaminan imuniti bertulis tanpa maklumat terperinci berkenaan perlakuan salah tersebut.

Beliau juga menggesa saksi tersebut untuk menghubunginya sebelum sidang parlimen berakhir pada pertengahan Disember ini.

“Saya sedia untuk mengemukakan bukti itu dan mendedahkan nama mereka yang terlibat di Parlimen. Saya juga menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera dan tegas terhadap mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Perkara 63(2) Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan kepada Ahli Parlimen dan imuniti daripada dikenakan tindakan undang-undang berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan ketika prosiding di parlimen.

Sebelum ini dilaporkan, lapan video muncul memaparkan perbincangan didakwa berkait rasuah antara ahli perniagaan dan beberapa Adun melibatkan lesen projek.

Pada Jumaat lalu, seorang pegawai kanan SPRM dilaporkan bertemu dengan seorang peguam yang memainkan rakaman audio berdurasi 17 saat, yang mana kedengaran beberapa orang didengar sedang berbincang tentang wang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang dipetik sebagai berkata peguam itu membayangkan yang anak guamnya sedia untuk memberikan sejumlah bukti, namun dia mahu SPRM menandatangani persetujuan menyatakan dia (anak guam) tidak akan diletakkan di bawah siasatan.

Namun, pegawai itu tidak setuju kerana ia bukan prosedur undang-undang. Azam berkata, SPRM tidak boleh memberikan jaminan imuniti bertulis tanpa maklumat terperinci berkenaan perlakuan salah tersebut.

Katanya, saksi-saksi digesa memfailkan aduan rasmi, sekali gus membolehkan mereka dilindungi mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.