Peniaga rugi lebih RM1.6 juta tertipu pelaburan tak wujud

Peniaga rugi lebih RM1.6 juta tertipu pelaburan tak wujud

Suspek berusia 56 tahun diperdaya menerusi satu pautan yang dihantar menerusi WeChat.

hussein omar khan
Menurut Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan susulan laporan polis mangsa pada Sabtu lalu.
PETALING JAYA:
Seorang peniaga berusia 56 tahun kerugian lebih RM1.6 juta selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud secara dalam talian.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata mangsa diperdaya suspek menerusi satu pautan yang dihantar melalui WeChat sebelum dia diminta memuat turun satu aplikasi platform pelaburan.

Katanya, mangsa juga diminta menambah wang ke dalam akaun berkenaan.

“Beberapa hari selepas memindahkan wang ke dalam aplikasi platform itu, mangsa dapati pelaburan di aplikasi itu telah memperolehi keuntungan.

“Mangsa cuba mengeluarkan wang keuntungan tetapi gagal dan diberi pelbagai alasan seperti adanya bayaran cukai dan ‘fi pemindahan rentas sempadan’ bagi proses pengeluaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mangsa turut diminta membuat bayaran tambahan bagi mengeluarkan keuntungan yang diperolehinya.

“Mangsa melakukan 44 transaksi kepada akaun suspek melibatkan empat akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM1.69 juta. Dia menyedari terpedaya apabila
gagal mendapatkan keuntungan dijanjikan.

“Mangsa membuat laporan polis pada Sabtu dan susulan itu kita telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dengan skim tawaran pelaburan dalam talian dan aplikasi pelaburan serta sentiasa membuat semakan pengesahan tentang kewujudan pelaburan saham dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.