
Menteri Fadhlina Sidek menyifatkan pendekatan PBS lebih holistik untuk mengetengahkan potensi diri murid, berbanding Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), yang kekal dihapuskan.
Beliau beliau demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 peringkat dasar, di Dewan Rakyat.
“Saya ambil peluang ini untuk menegaskan bahawa ketika ini kita tidak akan berpatah balik, dengan mengekalkan menghapuskan UPSR dan PT3 kerana ia tidak lagi relevan.
“Sebaliknya kita memberikan ruang kepada PBS ini berlangsung dengan baik… apa pun yang berlaku dalam pendidikan harus dikembalikan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan.”
Terdahulu ketika penggulungan, beberapa Ahli Parlimen antaranya Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud), Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani), dan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) mencelah untuk meminta agar KPM pertimbang mengembalikan UPSR dan PT3.
Seterusnya, Fadhlina menjelaskan kepada para wakil rakyat bahawa pemansuhan UPSR dan PT3 tidak bermakna tiada peperiksaan, memandangkan masih ada ujian akhir untuk pelajar.
“Disebabkan itu dalam jawapan saya tadi, saya tegaskan kita akan perkukuhkan ujian akhir ini,” katanya, merujuk kepada Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).
“Ia sebahagian konteks untuk pentaksiran bagi ibu bapa yang masih merasakan anak-anaknya perlu dinilai melalui peperiksaan dan ia adalah bersifat berkepentingan rendah.”
KPM dalam jawapan bertulis di laman Parlimen pada 23 Okt lepas mempertahankan PBS sebagai ‘game changer’, untuk beralih daripada pentaksiran berorientasikan peperiksaan ke arah pentaksiran berorientasikan perkembangan murid.
Langkah ini seiring dengan negara-negara lain yang turut beralih kepada PBS, antaranya Jepun, Hong Kong, Australia, Finland, dan Kanada, katanya.
Menurutnya, KPM beri tumpuan kepada pemerkasaan PBS sejak pemansuhan UPSR mulai 2021 dan PT3 mulai 2022, membabitkan komponen Pentaksiran Bilik Darjah, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum serta Pentaksiran Psikometrik.
Pelaksanaan UASA, yang digambarkan sebagai pentaksiran sumatif, turut ditambahbaik antaranya dengan menukar bentuk pelaporan daripada Tahap Penguasaan kepada bentuk peratus dan gred, serta memberikan sekolah dan guru autonomi dalam pelaksanaannya.