
Mereka berkata, secara teorinya, Warisan mampu membentuk pakatan kukuh bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), yang kini sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bahkan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Bagaimanapun, mereka tidak melihat mana-mana parti ini akan berpisah dengan GRS selepas Presiden Warisan, Shafie Apdal menolak kemungkinan bekerjasama dengan Parti Gagasan Rakyat Sabah pimpinan Hajiji Noor.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura menjangkakan STAR dan PBS kekal bersama GRS pada PRN memandangkan gabungan itu sudahpun mengetuai kerajaan negeri yang memberi lebih akses kepada sumber dan jentera diperlukan.
“Secara prinsip, mereka saling melengkapi, tetapi kemungkinannya rendah untuk gabungan seperti itu berganding bahu dalam pilihan raya. Namun, kita hanya mampu meneka bagaimana sikap mereka selepas menang kerusi,” katanya kepada FMT.
Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, Warisan menikmati sokongan kuat di pantai timur Sabah, manakala PBS dan STAR mempunyai penyokong tegar dalam kalangan masyarakat Kadazandusun, Murut dan Rungus di pantai barat serta pedalaman.
Katanya, KDM pimpinan Peter Anthony yang hanya berusia dua tahun kelihatan berpeluang cerah di kawasan populasi Murut serta Rungus.
Tetapi, beliau berkata, Gagasan Rakyat adalah “pemain penting” di negeri itu dan mengetepikannya tidak akan menguntungkan mereka.
“Gagasan Rakyat adalah parti utama GRS dan mempunyai sumber serta pengaruh agak besar. Tindakan mengetepikannya daripada gabungan besar pada saat akhir mungkin memberi kesan terhadap keberkesanan pakatan itu.”
Beliau turut memetik memorandum persefahaman PBS dan STAR awal tahun ini bagi meningkatkan kerjasama mereka di bawah GRS. Ini dilihat penting selepas dua parti itu bertelagah pada PRN 2020, walaupun mereka sebenarnya di pihak sama.
Lee berkata, perjanjian ini menekankan komitmen mereka kepada GRS dan mengukuhkan kedudukan dalam rangka kerja gabungan itu, seterusnya mengekang mereka mencari pakatan baharu.
“Kemungkinan wujudnya pakatan terdiri daripada parti Sabah merangkumi Warisan, PBS, STAR dan KDM pada PRN akan datang nampaknya agak rendah.”
Isnin lalu, Ketua Penerangan Warisan, Azis Jamman dilaporkan berkata, ia mahu bekerjasama dengan parti tempatan Sabah pada PRN ke-17, tetapi hanya jika mereka cukup berani tidak tunduk kepada parti nasional seperti Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.
Katanya, Warisan sedia bergerak solo jika parti tempatan tidak cukup berani mengambil pendirian itu.
Sebelum itu, Shafie menolak kemungkinan Warisan bekerjasama dengan parti pernah “mencuri” Adunnya, merujuk Gagasan Rakyat pimpinan Hajiji.
Sebelas Adun Warisan yang memenangi PRN 2020 meninggalkan parti itu dan menyertai Gagasan Rakyat.
GRS terdiri daripada Gagasan Rakyat dan tujuh parti tempatan, termasuk PBS dan STAR yang tidak menerima Adun Warisan berpaling tadah.
Lee berkata, lebih baik PBS dan STAR kekal bersama pakatan Hajiji kerana mampu mendapat akses lebih besar kepada sumber diperlukan, walaupun mungkin ada harga yang terpaksa dibayar.
Memandangkan GRS mahu bekerjasama dengan PH untuk PRN, katanya, ini akan memaksa PBS dan STAR melepaskan beberapa kerusi tradisi kepada gabungan itu, khususnya di kawasan bandar.
“Bagaimanapun, ini boleh diredakan dengan melantik ahli mereka sebagai Adun atau senator, atau memberi jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan.”