Warga Myanmar mengaku salah korek mata lelaki hingga cacat

Warga Myanmar mengaku salah korek mata lelaki hingga cacat

Tertuduh Murtabis mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Butterworth atas tuduhan menyebabkan cedera parah pada seorang lelaki.

mahkamah sesyen majistret butterworth
Tertuduh warga Myanmar Murtabis didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth atas tuduhan menyebabkan cedera parah pada seorang lelaki dengan mengorek mata mangsa hingga mengakibatkan kecacatan kekal.
PETALING JAYA:
Seorang warga Myanmar mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Butterworth atas tuduhan menyebabkan cedera parah pada seorang lelaki dengan mengorek mata mangsa hingga mengakibatkan kecacatan kekal dalam pergaduhan di Tasek Gelugor, 16 Nov lalu.

Tertuduh, Murtabis, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Penolong Pendaftar Mohamad Azrul Muhd Sobri, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, Murtabis didakwa menyebabkan cedera parah terhadap seorang lelaki warga tempatan berusia 52 tahun dengan dengan mengorek mata mangsa hingga mengakibatkan kecacatan kekal.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor, kira-kira 2 petang, 16 Nov lalu, mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Tertuduh juga mengaku bersalah atas tuduhan tidak memiliki pas sah mengikut undang-undang untuk masuk ke negara ini mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya dan sebatan tidak lebih enam sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Airina Syazreen Zainurin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 13 Dis depan untuk kehadiran jurubahasa Myanmar sebelum menjatuhkan hukuman selain tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.