
Hamzah akan melepaskan jawatan itu kerana bakal menjadi timbalan presiden Bersatu susulan kemenangannya pada pemilihan parti awal bulan ini.
“Cadangan ini sesuai dengan pengalaman dan senioriti Takiyuddin dalam PN, lebih-lebih lagi beliau sebelum ini timbalan setiausaha agung PN,” kata Afnan yang juga ketua Pemuda PAS dalam kenyataan.
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu adalah setiausaha agung PAS.
Kenyataan itu menyusul laporan Sinar Harian hari ini yang melaporkan kenyataan Muhyiddin Yassin yang mengesahkan Azmin Ali bakal dilantik setiausaha agung Bersatu dan PN.
Presiden Bersatu itu berkata Azmin yang juga ketua Bersatu Selangor dan Adun Hulu Kelang telah bersetuju dengan tawarannya menduduki jawatan terbabit bagi menggantikan Hamzah.
Menurut pengerusi PN itu, pengumuman secara rasmi bakal dibuat dalam masa terdekat, berkemungkinan selepas Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu berlangsung Jumaat hingga Ahad ini.
Pada Konvensyen Bersatu Julai lalu, Muhyiddin berkata Hamzah dicadangkan memegang jawatan timbalan presiden, manakala Azmin menggantikan kedudukan sedia ada Hamzah, menerusi ‘pelan kompromi’ bagi mengelakkan pertembungan jawatan tertinggi.
Mengikut rundingan, Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu akan berundur setapak untuk bertanding naib presiden bersama dua penyandang, Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin.
Pada pemilihan Bersatu awal bulan ini, Muhyiddin dan Hamzah masing-masing menang tanpa bertanding manakala Faizal, Kiandee serta Radzi pula menduduki tiga kerusi naib presiden manakala Azmin pula tidak mencabar mana-mana kedudukan.
Sebelum ini, Azmin yang juga bekas timbalan presiden PKR dikatakan mahu menolak tawaran menjadi setiausaha agung Bersatu kerana mahu fokus kepada usaha PN menawan Selangor pada PRU16.