PN lebih ‘Melayu’ jika terima NGO, takutkan pengundi bukan Islam, kata penganalisis

PN lebih ‘Melayu’ jika terima NGO, takutkan pengundi bukan Islam, kata penganalisis

Mazlan Ali berkata kelantangan NGO terutama babit isu Melayu dan Islam dikhuatiri beri kesan kepada PN serta Bersatu raih sokongan kaum lain.

bersatu crowd
Beberapa NGO Melayu mahu menyertai Bersatu untuk mengukuhkan parti itu menjelang PRU16.
PETALING JAYA:
Penganalisis berpendapat ‘wajah’ Perikatan Nasional (PN) akan ‘bertambah Melayu’ jika Bersatu menerima penyertaan beberapa NGO mewakili komuniti itu.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, ini kerana ada antara pertubuhan dikaitkan itu terkenal dengan kelantangan dalam menyuarakan isu hak Melayu sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati.

“Ini akan lebih menakutkan pengundi bukan Melayu untuk mendekati PN dan Bersatu. Dalam konteks politik, ia tidak begitu baik untuk Bersatu pada masa akan datang.

“Bila ada NGO Melayu menyatakan hasrat menyertai Bersatu maka akan dilihat Bersatu ini lebih berwajah Melayu,” katanya kepada FMT, merujuk laporan beberapa NGO mewakili komuniti itu berhasrat menyertai Bersatu.

Difahamkan, pertubuhan Melayu yang ingin berbuat demikian bagi mengukuhkan Bersatu menjelang PRU16 termasuk Berjasa, Putra dan Perkasa.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Perkasa Zul Karnain Mat Junoh, Isnin lalu, menafikan pihaknya mahu menyertai mana-mana parti politik namun berpendirian kekal mesra PN untuk melawan DAP.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata wajah ‘Melayu’ itu juga mungkin menakutkan pengundi Sabah dan Sarawak, yang mana sentimen ketika ini lebih cenderung menolak parti nasional.

Jika penolakan itu berlaku, katanya, ia lebih menyukarkan hasrat PN untuk merampas Putrajaya daripada kerajaan perpaduan pada PRU akan datang.

“Mereka kena lihat sokongan terutama dari Sabah dan Sarawak. Jika Bersatu lebih kemelayuan, orang Sabah Sarawak agak tak suka dengan situasi ini.

“Apabila Bersatu dipenuhi NGO Melayu, khususnya yang lantang memperjuangkan hak orang Melayu dan Islam, ia akan menjauhkan sokongan Sabah Sarawak.

“Itu akan menyukarkan lagi hasrat Bersatu untuk meraih kemenangan lebih besar pada PRU akan datang,” katanya.

Sementara itu, Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata penyertaan NGO Melayu tidak mampu mengubah landskap politik tanah air, sebaliknya hanya menaikkan moral dan semangat ahli Bersatu.

“Secara praktikal tak boleh ubah landskap politik tanah air cuma ia akan menaikkan moral dan semangat ahli Bersatu atau sekurang-kurangnya Bersatu dilihat semakin mendapat sokongan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.