
Setiausaha agung PN berkata, parti mengambil maklum cadangan dikemukakan pemimpin komponen namun mengikut perlembagaan parti Pengerusi Muhyiddin Yassin berhak melantik individu dirasakan layak.
“Mengikut perlembagaan pengerusi (Muhyiddin) boleh melantik setiausaha agung PN dan hari ini apabila pengerusi umum dia mahu Azmin Ali sebagai SUA PN maka akan diendors (cadangan itu) dalam mesyuarat pimpinan tertinggi PN pada 9 Dis ini,” katanya selepas merasmikan persidangan sayap Bersatu pada Perhimpunan Agung Tahunan 2024.
Hamzah berkata, isu setiausaha agung PN diharapkan tidak lagi berbangkit selepas ia diputuskan oleh kepimpinan tertinggi PN kelak.
“Walaupun kuasanya diberikan kepada pengerusi, kita tidak mahu lagi yang lain-lain bercakap tentang perkara ini. Biarlah selepas ia diumumkan pengerusi, kita terima baik,” katanya.
Terdahulu, FMT memetik sumber Bersatu sebagai berkata, tindakan Muhyiddin mengumumkan Azmin bagi jawatan tersebut tanpa rundingan didakwa cetus rasa tidak puas hati sehingga mengundang tindak balas PAS.
Menurut Sinar Harian, Muhyiddin mengesahkan Azmin akan dilantik sebagai setiausaha agung Bersatu dan PN.
Susulan itu, Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden mencadangkan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan sebagai pengganti Hamzah yang menang timbalan presiden Bersatu pada pemilihan parti awal bulan ini.
Menurut ketua Pemuda PN itu, ia sesuai pengalaman dan senioriti Ahli Parlimen Kota Bharu dalam PN, selain kedudukan sebagai timbalan setiausaha agung.