
Beliau berkata kerajaan akan mengekalkan Kampung Baru menjadi kawasan kebanggaan orang Melayu.
“Bagi pihak kerajaan saya mohon sokongan semua pihak diberikan kepada projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru ini.
“Diharapkan boleh menjadi antara projek rintis dalam kita memajukan dan membangunkan semula Kampung Baru dan menaiktarafkan kehidupan pemilik-pemilik melalui hartanah secara menyeluruh,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Zaliha berkata bantahan penduduk Kampung Sungai Batu melibatkan 13 permohonan daripada unit flat dan 62 permohonan daripada lot teres.
Beliau berkata bagi unit flat, mahkamah memerintahkan 11 permohonan daripada pemilik unit flat diberi tambahan bayaran pampasan sebanyak RM18,000 hingga RM24,000 seunit berdasarkan perintah penghakiman persetujuan penyelesaian luar mahkamah.
“Keseluruhan tambahan bayaran pampasan berjumlah RM200,000 telah diserahkan kepada pemohon-pemohon terlibat.
“Manakala, baki bagi dua permohonan lagi masih dalam tindakan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya.
Sementara itu, Zaliha berkata bagi lot teres pula, satu permohonan dibicarakan pada Mei 2024 dan mahkamah memutuskan tambahan bayaran pampasan sebanyak RM69,000 atau lebih kurang 8% daripada award hartanah oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL) berjumlah RM874,000.
Beliau berkata manakala, baki bagi 61 permohonan melibatkan pemilik lot teres ini masih dalam tindakan AGC.
Zaliha berkata demikian menjawab pertanyaan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang meminta kerajaan menyatakan status rayuan tuntutan pampasan yang lebih adil oleh kumpulan minoriti yang menolak tawaran pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Bharu Kuala Lumpur.