Ketua PAS Sg Buloh didakwa sertai perhimpunan haram

Ketua PAS Sg Buloh didakwa sertai perhimpunan haram

Zaharudin Muhammad mengaku tak bersalah sertai perhimpunan bantah pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru pada 11 Sept lalu.

Zaharudin Muhammad
Ketua PAS Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan menyertai perhimpunan menyalahi undang-undang semasa operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru, 11 Sept lalu.
PETALING JAYA:
Ketua PAS Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menyertai perhimpunan menyalahi undang-undang di Kampung Sungai Baru pada September lalu.

Zaharudin, 49, membuat pengakuan tersebut selepas tuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan, lapor Berita Harian.

Mengikut pertuduhan, Zaharudin bersama tujuh individu lain menyertai perhimpunan di Jalan Datuk Abdul Malik semasa operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru antara 10.50 hingga 11.14 pagi 11 Sept tahun lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa dan Wirna Arifin, manakala tertuduh diwakili peguam, Latheefa Koya.

Wirna memohon Zaharudin dibebaskan dengan ikat RM5,000 dengan seorang penjamin namun Latheefa memohon jumlah ikat jamin minimum atas alasan anak guamnya itu mempunyai tanggungan keluarga yang besar.

“Anak guam saya mempunyai seorang isteri yang merupakan suri rumah, dan menyara enam anak berusia sembilan hingga 23 tahun. Beliau juga adalah seorang aktivis yang komited dalam isu masyarakat

“Selain itu, pihak pembelaan memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi pada 31 Dis lalu bagi memohon deklarasi bahawa Seksyen 145 ini (Kanun Keseksaan) bercanggah dengan Fasa 10(2) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak berhimpun,” katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan Zaharudin diikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin, dan menetapkan 24 Feb depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Jumaat lalu, tujuh individu termasuk dua remaja didakwa di Mahkamah Majistret kerana menyertai perhimpunan sama.

Enam daripada mereka mengaku bersalah, termasuk dua remaja berusia 16 dan 17 tahun, manakala seorang lagi mengaku tidak bersalah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.