Sindiket seludup 3,580kg serbuk tembakau dalam kontena makanan ringan

Sindiket seludup 3,580kg serbuk tembakau dalam kontena makanan ringan

Jabatan Kastam Negeri Sembilan turut menahan seorang lelaki tempatan 30-an yang bekerja dengan syarikat perkapalan untuk siasatan lanjut.

Pengarah Jabatan Kastam Negeri Sembilan Muhammad Ilyas Queek Abdullah (tengah) menunjukkan serbuk tembakau yang dirampas dalam sidang media hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Kastam Negeri Sembilan merampas serbuk tembakau seludup dianggarkan bernilai RM361,962 yang disorok dalam kontena diisytiharkan makanan.

Pengarah Kastam Negeri Sembilan, Muhammad Ilyas Queek Abdullah berkata seorang lelaki tempatan 30-an yang bekerja dengan syarikat perkapalan itu turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Negeri Sembilan menahan dan memeriksa sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Klang kira-kira 1 tengah hari 20 Nov lalu.

“Selepas pintu kontena dibuka, pasukan menemui 85 kotak makanan ringan dan lima peti minuman ringan pelbagai jenama disusun di bahagian depan.

“Hasil pemeriksaan menjumpai 716 kotak atau 3,580kg serbuk tembakau disusun di belakang dalam kontena. Jumlah nilai sitaan termasuk cukai dianggarkan sebanyak RM614,868.22,” katanya menurut Harian Metro dalam sidang media di Seremban hari ini.

Menurutnya, sindiket menyusun makanan ringan dan serbuk tembakau dalam kotak berasingan, tetapi dalam kontena sama yang diisytiharkan makanan.

“Tembakau adalah barang larangan yang mana pengimportannya tertakluk kepada permit import di bawah Butiran 66 Bahagian I Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.