
Pemegang ijazah sarjana muda perubatan kelas pertama itu berkata, sewaktu bergelut dengan tugas sebagai pelajar perubatan di semester 4, beliau dimaklumkan ibunya dimasukkan ke hospital akibat komplikasi kencing manis manakala bapanya, juruteknik di sebuah syarikat swasta terpaksa diberhentikan kerja.
“Semua itu datang serentak ketika itu kita baru saja memasuki tempoh PKP akibat Covid-19. Mak saya komplikasi akibat diabetes, tulang dia reput jadi terpaksa berulang-alik ke hospital dan saya di sini tak dapat balik kerana ada pengajian.
“Ditambah kekangan tak boleh merentas negeri akibat penularan Covid-19. Saya amat tertekan di situ, mujur ada sokongan daripada pihak universiti dan pensyarah yang tak putus-putus bertanya khabar mengenai keluarga saya,” katanya kepada FMT.
Kesungguhan anak kelahiran Ipoh, Perak, itu akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang di Universiti Perdana dan kini berkhidmat di Hospital Raja Permaisuri Bainun.
“Saya amat bersyukur tanpa sokongan JPA, universiti dan ibu bapa, saya tak akan mampu menghabiskan pengajian sebagai doktor perubatan,” kata anak tunggal kepada pasangan Salina Abd Hamid dan Firdaus Leong itu.
Hanis antara 158 graduan dalam pelbagai bidang diraikan dalam Majlis Konvokesyen Ke-7 Universiti Perdana 2024 di Putrajaya, kelmarin.
Canselor Universiti Perdana, Dr Suleiman Mohamed, menyeru graduan menerapkan nilai integriti, semangat kebersamaan dan daya juang tinggi untuk meraih kecemerlangan dalam perjalanan kerjaya mereka.
Majlis itu juga mencatat sejarah sebagai penutup program kolaborasi bersama Royal College of Surgeons in Ireland (PU-RCSI) dan National University of Ireland yang melahirkan ramai pakar perubatan sejak penubuhannya pada 2011.