Kes Tuan Ibrahim didakwa keluar kenyataan berunsur perkauman dirujuk ke AGC

Kes Tuan Ibrahim didakwa keluar kenyataan berunsur perkauman dirujuk ke AGC

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata pihaknya menunggu tindakan lanjut peguam negara selepas kertas siasatan diserahkan.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman dalam satu sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Pemuda PAS di Temerloh, Pahang  pada September lalu.
PETALING JAYA:
Kertas siasatan terhadap Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman dalam satu sidang media pada September lalu sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution.

Saifuddin berkata siasatan polis terhadap Tuan Ibrahim itu dibuat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kertas siasatan kes ini telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang meminta KDN menyatakan sebab-sebab tiada tindakan undang-undang dikenakan terhadap Tuan Ibrahim tentang dakwaan beliau bahawa ‘Orang Cina cakap Cina akan timbul buruk sangka’.

Menurut Sinar Harian, Lim pada 13 Sept lalu membuat laporan polis terhadap kenyataan Tuan Ibrahim pada sidang akhbar di Muktamar Pemuda PAS di Temerloh, yang didakwanya berunsur perkauman.

Dalam kenyataan itu, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata sifat saling curiga sesama bangsa yang tinggi berpunca daripada faktor penggunaan bahasa bangsa itu sendiri, yang menyebabkan orang Melayu berfikiran negatif terhadap bangsa lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.