
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata antara tindakan boleh diambil berdasarkan Notis Pemberitahuan Penamaan (Notification of Approval) terhadap pembina menara gagal menyiapkan menara dalam tempoh ditetapkan ialah tuntutan “liquidated damages”, pelaksanaan pengambilan “Performance Bond”, penolakan tuntutan dan tindakan undang-undang lain di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Beliau berkata, Notis Ketidakpatuhan dikeluarkan 28 Okt lalu kepada semua “Designated Universal Service Provider” (DUSP) Bahagian 1 dan 2 yang belum menyiapkan projek Jendela dianugerahkan kepada mereka.
“Dalam notis ini, DUSP berkaitan diberikan tempoh 1-2 bulan hingga 31 Dis ini untuk menyiapkan kerja masing-masing.
“Sekiranya DUSP berkaitan belum menyiapkan kerja sehingga tempoh ditetapkan, tindakan tuntutan ‘liquidated damages’ boleh dilaksanakan terhadap DUSP berkaitan,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 bagi kementeriannya di Dewan Negara.
Teo berkata, projek Jendela Fasa 1 masih dalam pelaksanaan dan 1,385 struktur menara siap dibina daripada 1,661 yang dirancang setakat 31 Okt lalu dan daripada jumlah itu, hanya 808 menara telah beroperasi.
Dalam pada itu, Teo memaklumkan 603 perkampungan Orang Asli menerima manfaat liputan rangkaian 4G daripada menara yang siap dibina dan beroperasi setakat 31 Okt lalu.
“Tambahan daripada itu, dianggarkan 82 kampung Orang Asli lagi akan diliputi rangkaian 4G daripada menara yang dalam pelaksanaan di bawah inisiatif Jendela Fasa 1 dan dijangka siap secara berperingkat hingga akhir 2025.”
Secara keseluruhannya, beliau berkata, 685 atau 81% daripada 843 kampung Orang Asli yang direkodkan telah atau akan mempunyai liputan 4G.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing dalam penggulungan kementeriannya pula menyeru semua pihak menyokong pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah sambutan Tahun Baru Cina oleh kerajaan China tahun depan.
Menurutnya, program sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia–China itu akan memberi peluang negara menarik perhatian global, terutama 1.4 bilion rakyat di republik berkenaan.
“Inisiatif ini juga berpotensi meningkatkan ketibaan dan pendapatan pelancongan negara, termasuk di Kedah dan Langkawi, selain memperkukuh hubungan diplomatik dan memberi manfaat ekonomi.
“Berdasarkan perimeter United Nation Tourism, pelancong China merupakan pembelanja terbesar dalam pelancongan, oleh itu saya menyeru Ahli Berhormat (Senator) dan semua untuk sama-sama mempromosikan negara kita.”