
Panel tiga hakim dipengerusikan Ruzima Ghazali membatalkan rayuan tersebut.
“Kami membatalkan perkara ini selepas pendakwa raya menarik balik rayuan,” katanya.
Turut bersidang bagi mendengar rayuan itu, Hakim Azman Abdullah dan Azmi Ariffin.
Zahid, 71, didakwa atas 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) ketika menjadi menteri dalam negeri, untuk menyambung kontrak firma itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak bagi pembekalan sistem bersepadu VLN.
Dia juga didakwa atas tujuh lagi tuduhan memperoleh untuk dirinya SGD1.15 juta; RM3 juta; 15,000 franc Swiss; dan USD15,000 daripada syarikat sama berkaitan dengan tugas rasminya.
Pada 23 Sept 2022, Mahkamah Tinggi membebaskan Zahid daripada semua 40 tuduhan selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim memberitahu mahkamah bahawa peguam negara memutuskan untuk tidak meneruskan rayuan selepas mempertimbangkan dapatan hakim Mahkamah Tinggi dan dua representasi dikemukakan Zahid.
Katanya, pihak pendakwaan mendapati tiada bukti menunjukkan Zahid menggunakan jawatan beliau secara langsung untuk menganugerahkan kontrak-kontrak tersebut.
“Bukti menunjukkan kontrak dianugerahkan sebelum responden (Zahid) menjadi menteri dalam negeri (di bawah kerajaan Barisan Nasional). Tiada ruang salah guna kuasa berlaku,” katanya.
Yusaini juga berkata lanjutan kontrak melantik Ultra Kirana sebagai operator tunggal sistem VLN dibuat secara teratur dan mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Beliau berkata Zahid mengemukakan dua surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara, masing-masing bertarikh pada 26 Jan 2023 dan 7 Feb 2024.
Yusaini berkata hakim Mahkamah Tinggi membuat beberapa dapatan fakta, antaranya sumber wang yang dikatakan diterima dalam kes ini, tidak disiasat dan beberapa individu yang dikatakan menjadi sumber dana dipertikaikan dari luar negara tidak dipanggil ketika siasatan mahupun ketika perbicaraan.
“Setelah mempertimbangkan representasi ini dan mengambil kira dapatan-dapatan hakim Mahkamah Tinggi, Jabatan Peguam Negara mendapati terdapat asas undang-undang dan fakta yang kukuh untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya.
Turut hair bagi pihak pendakwaan adalah Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob dan Zander Lin, manakala Zahid diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, Hamidi Noh, Ahmad Zaidi Zainal dan Aiman Abdul Rahman.
Zahid ketika ditemui di luar mahkamah mengucapkan terima kasih kepada barisan peguamnya yang bekerja keras bagi memastikan dua representasi diterima pihak pembelaan.
Hisyam permohonan pendakwaan untuk menarik balik rayuan itu berasaskan dapatan fakta semasa perbicaraan.
“Kami bersyukur pihak pendakwaan menerima representasi dan memutuskan untuk menarik balik rayuan,” katanya.