
Wakil rakyat dari Perikatan Nasional (PN) itu berpendapat gaji asas diterima mereka sekitar RM11,250 serta elaun lain untuk membayar kos pengurusan masih dianggap rendah jika dibandingkan negeri lain.
Dakwanya, gaji Adun di Pulau Pinang itu boleh dianggap rendah walaupun menjadi antara negeri maju dan keadaan terbabit lebih sukar buat wakil pembangkang yang tidak mendapat peruntukan sebesar rakan dari blok kerajaan.
“Mereka yang komen di TikTok itu tak faham, saya minta kenaikan sebab rendah sangat, negeri lain macam-macam elaun ada…gaji kami pun diguna bantu rakyat.
“Ada yang minta bantuan cermin mata dan beras. Dapat duit dari mana? Kita Adun pembangkang kena tambah sekurang-kurangnya RM10,000 sebulan.
“Tempoh hari ketika ribut bantu baiki 24 rumah dan bila banjir sumbang RM200 untuk cuci rumah,” katanya kepada FMT, sambil menegaskan permintaannya supaya gaji dinaikkan 30% untuk manfaat wakil rakyat blok kerajaan dan pembangkang.
“Saya minta gaji Adun dinaikkan 30% supaya dapat tampung pelbagai perbelanjaan.”
Pada sidang DUN Pulau Pinang berlangsung dari 22 hingga 28 Nov lalu, Azmi mencadangkan Pulau Pinang mengikut jejak Negeri Sembilan menaikkan gaji menteri besar, exco dan wakil rakyatnya.
Bagaimanapun, video ucapannya berkait isu itu di TikTok menerima reaksi kurang senang daripada warganet yang berpendapat kenaikan terbabit tidak perlu susulan kesukaran seperti kenaikan kos sara hidup ditanggung rakyat.
Kali terakhir gaji Adun Pulau Pinang dinaikkan pada 2015 iaitu daripada RM6,000 kepada RM11,250. Selain itu, wakil rakyat pembangkang turut menerima peruntukan RM60,000 setahun.
Dalam pada itu, Azmi turut berharap peruntukan wakil rakyat pembangkang dapat diberi sama rata atau sekitar 60% hingga 70% daripada RM500,000 setahun yang disalur kepada Adun kerajaan ketika ini.
“Wang itu bukan untuk kegunaan sendiri tetapi bantu rakyat,” katanya.