
Kumpulan 11 penuntut IPG berkenaan yang menaiki empat kenderaan, iaitu dua Perodua Axia dan masing-masing sebuah Proton X50 dan Proton Saga dari arah Kuala Lumpur sedang dalam perjalanan pulang ke IPG di Besut.
Ketua Polis Gua Musang Sik Choon Foo berkata kejadian itu berlaku pada 6.45 pagi tadi apabila polis menerima pemakluman terdapat kemalangan maut di KM16 di jalan berkenaan.
Beliau berkata siasatan awal mendapati sebuah treler dipandu seorang lelaki berumur 28 tahun dari Kuala Lipis, Pahang menghala ke Gua Musang, Kelantan hilang kawalan dan melanggar sisi kanan kedua-dua kereta Perodua Axia, Proton Saga dan Proton X50 yang berada di bahu kiri jalan.
“Akibat pelanggaran itu, pemandu Proton X50 cedera di bahagian kepala, penumpang hadapan dan seorang penumpang belakang cedera manakala seorang lagi penumpang belakang maut.
“Pemandu kereta Perodua Axia pula mengalami kecederaan parah di bahagian kepala manakala enam lagi penuntut hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan.
Sik berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat manakala mangsa yang lain sedang mendapatkan rawatan di hospital sama.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian supaya tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang menerusi talian 09-9121222 atau pegawai penyiasat 013-3010408.