UM nafi pensyarah ditahan kerja kembali ke kampus

UM nafi pensyarah ditahan kerja kembali ke kampus

Universiti Malaya berkata pihak fakulti atau jabatan berkaitan tidak mengeluarkan arahan untuk pensyarah itu kembali ke kampus.

UNIVERSITI MALAYA
Universiti Malaya berkata pensyarah terbabit sudah dihubungi untuk tidak hadir ke kampus sepanjang tempoh ditahan kerja.
PETALING JAYA:
Universiti Malaya (UM) menafikan laporan seorang pensyarah yang ditahan kerja atas dakwaan berkongsi gambar bogel dirinya dengan pelajar masih muncul di kampus.

“Tiada arahan dikeluarkan kepada pensyarah berkenaan untuk hadir di kampus oleh pihak fakulti atau jabatan berkaitan,” kata UM dalam kenyataan.

Katanya, tinjauan turut mendapati tiada petunjuk atau saksi dapat mengesahkan perkara itu.

Menurutnya, pensyarah terbabit sudah dihubungi untuk memastikan beliau tidak hadir ke kampus sepanjang tempoh tahan kerja.

“Kami sentiasa memastikan keselamatan semua pihak dalam kampus, terutamanya pelajar.”

Kenyataan ini menyusul dakwaan seorang mangsa yang memberitahu Malaysiakini semalam bahawa pensyarah terbabit masih hadir di kampus selepas ditahan kerja pada 23 Dis lalu.

Pada 23 Dis lalu, UM mengesahkan pensyarah dikaitkan dengan isu penghantaran mesej jelik seksual itu ditahan kerja mengikut Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000.

Kementerian Pendidikan Tinggi dilaporkan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan ke atas perkara itu, dan memandang serius sebarang salah laku membabitkan kakitangan di institusi pengajian tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.