Kementerian Komunikasi tingkat produktiviti dengan konsep musyawarah

Kementerian Komunikasi tingkat produktiviti dengan konsep musyawarah

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ia bagi mendapatkan pandangan dan suara di semua peringkat di kementerian itu.

Fahmi Fadzil
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata cara meningkatkan produktiviti dan bukan hanya bermuhasabah tetapi bermusyawarah mendapatkan pandangan dan suara daripada semua dalam pasukan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kementerian Komunikasi menerapkan konsep musyawarah bagi mendapatkan pandangan dan suara di semua peringkat seperti ditekankan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam meningkatkan lagi produktiviti.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beliau meminta Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi Mohamad Fauzi Md Isa untuk meneliti kaedah penerapan konsep berkenaan di kementerian.

“Saya nampak pesanan perdana menteri untuk cari cara meningkatkan produktiviti dan bukan hanya bermuhasabah tetapi bermusyawarah mendapatkan pandangan dan suara daripada semua dalam pasukan.

“Ini saya minta di Kementerian Komunikasi, KSU kita teliti apa yang boleh kita lakukan supaya di peringkat unit yang terkecil dalam mana-mana jabatan (supaya) mutu dan produktiviti boleh diteliti dan ditambah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi Live Feed Amanat Perdana Menteri 2025 bersama warga Kementerian Komunikasi yang turut dihadiri timbalannya Teo Nie Ching dan Fauzi.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Fahmi berkata pesanan perdana menteri supaya perkhidmatan awam terus diperkasakan merupakan satu peringatan baik, sekali gus mengingatkan penjawat awam untuk sentiasa berusaha meningkatkan produktiviti mereka.

“Ini satu peringatan yang baik bahawa kita jangan sesekali sekadar berasa apa yang kita capai itu memadai tetapi kita perlu lakukan refleksi dan memikirkan apa yang boleh kita lakukan untuk memperbaiki keadaan, mengatasi kelemahan dan kekurangan.

“Pada masa sama, jangan kita alpa ataupun culas atau lupa untuk berasa syukur atas apa yang telah kita berjaya lakukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.