
Fadhli menerusi Facebook berkata: “Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. Disergah biawak, digadai reban.”
Hantaran dibuat malam tadi selepas Umno memutuskan tidak meneruskan perhimpunan solidariti bersama bekas presiden Najib Razak, Isnin ini kerana menjunjung titah Agong.
Sebelum itu, Istana Negara mengingatkan semua pihak menghormati kuasa prerogatif Agong dalam mengampunkan atau mengurangkan hukuman seseorang banduan dan menggunakan saluran perundangan ditetapkan.
Susulan itu, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menggesa Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menjelaskan maksud hantaran di media sosialnya terbabit termasuk ‘biawak’ dimaksudkannya.
“Kalau anak jantan cuba bagitahu secara terus siapa dimaksudkan, mungkin Fadhli hanya pandai berkokok tetapi tak berani,” kata Adun Merlimau itu.
Ahli Parlimen Sungai Petani Taufiq Johari dari PKR pula mendakwa hantaran itu menimbulkan persoalan kerana dibuat sejurus Istana Negara mengeluarkan kenyataan supaya proses permohonan pengurangan hukuman dibuat mengikut saluran betul yang dihormati Umno.
“Mungkin yang ‘menyergah’ (kiasan Fadhli) itu Agong, bagi saya ini kenyataan derhaka dikeluarkan Pasir Mas,” katanya mengingatkan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pada 2021 pernah berbohong dalam Parlimen hingga mengundang kenyataan dukacita oleh Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, Yang di-Pertuan Agong ketika itu.
Al-Sultan Abdullah mengeluarkan titah terbabit susulan pengumuman Takiyuddin yang ketika itu menteri di Jabatan Perdana Menteri (parlimen dan undang-undang) berkait pembatalan Ordinan Darurat walaupun belum diperkenan baginda.
Wakil rakyat Batu Pahat Onn Abu Bakar dari PKR juga mempersoalkan sama ada Fadhli cuba menderhaka dengan membuat kiasan sinis seumpama itu.
“Adakah YB cuba derhaka,” tulisnya di Facebook sambil menyertakan tangkap layar hantaran Fadhli.
Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat dari Amanah pula menegaskan Fadhli tidak perlu derhaka kepada Agong dengan membuat kenyataan seumpama itu.
“PMX (Anwar Ibrahim) nyatakan pengampunan dipertimbangkan Agong, ketua polis negara (Razarudin Husain) nyatakan pengampunan kuasa prerogatif Agong dan Umno akur titah Agong.
“Fadhli jangan derhaka pada Tuanku,” katanya.
FMT menghubungi Fadhli untuk mendapatkan maklum balasnya.