Hamzah tarik balik ucapan ‘palui’, dakwa pemimpin Bersatu Sabah

Hamzah tarik balik ucapan ‘palui’, dakwa pemimpin Bersatu Sabah

Timbalan Ketua Bersatu Sabah Muhammad Affan Jumahat berkata Hamzah Zainudin menarik balik kenyataan itu dalam ucapan sama pada ceramah di Kudat.

Hamzah Zainudin
Muhammad Affan Jumahat menjelaskan Hamzah Zainudin tidak pernah merujuk perkataan ‘palui’ kepada orang Sabah, sebaliknya sikap tidak bertanggungjawab kepimpinan negeri.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Bersatu mendakwa Timbalan Presiden Hamzah Zainudin menarik balik ucapan ‘palui’ atau bermaksud bodoh yang dikritik ramai rakyat Sabah kerana dianggap tidak sopan.

Timbalan Ketua Bersatu Sabah, Muhammad Affan Jumahat, berkata timbalan pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu segera berbuat demikian dalam ucapan sama pada ceramah di Kudat, minggu lalu.

Sehubungan itu, beliau yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu menggesa Ketua Menteri Hajiji Noor tidak lagi ‘menunggang’ isu terbabit untuk mengalih perhatian rakyat Sabah.

“Perlu ditegaskan, ketua pembangkang (Hamzah) tidak pernah merujuk ‘palui’ kepada orang Sabah, sebaliknya merujuk kepada sikap tidak bertanggungjawab kepimpinan negeri.

“Hamzah telah menarik balik segera kenyataan itu dalam ucapan yang sama ketika di Kudat,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Hajiji yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membidas sikap Hamzah menghamburkan kata penghinaan ‘palui’ terhadap pemimpin dan rakyat negeri itu.

Hajiji menggambarkan Ahli Parlimen Larut itu tidak wajar datang ke Sabah kerana membawa budaya politik yang dikatakan suka memaki.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.