Bekas eksekutif TM bebas, hakim bicara kes CBT terkhilaf

Bekas eksekutif TM bebas, hakim bicara kes CBT terkhilaf

Hakim K Muniandy berkata hakim perbicaraan telah terkhilaf dan Shamsul Bahri Musa sepatutnya dibebaskan tanpa dipanggil pembelaannya.

kl high court
Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy memutuskan bahawa perbicaraan itu adalah terbatal kerana pertuduhan tidak mendedahkan kesalahan pecah amanah jenayah.
KUALA LUMPUR:
Seorang bekas eksekutif Telekom Malaysia yang didakwa melakukan pecah amanah jenayah membabitkan RM1.6 juta telah dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pertuduhan itu cacat dan hakim perbicaraan terkhilaf.
K Muniandy.

Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy berkata Shamsul Bahri Musa, 55, sepatutnya dibebaskan tanpa dipanggil pembelaannya.

Dalam penghakiman bertulis yang dikeluarkan pada Jumaat, Muniandy berkata kesalahan pecah amanah jenayah tidak didedahkan dan pertuduhan itu tidak mematuhi Kanun Tatacara Jenayah, menjadikannya tidak sah dan perbicaraan terbatal.

“Salah laksana keadilan yang telah berlaku perlu diperbetulkan oleh mahkamah ini,” katanya, dalam membenarkan rayuan Shamsul terhadap sabitan dan hukumannya. Pihak pendakwaan telah membuat rayuan balas atas alasan hukuman penjara dua tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen, tidak mencukupi.

Shamsul didakwa melakukan kesalahan itu antara Januari 2007 dan September 2010 di Menara Mutiara Bangsar.

Hakim berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh atas semua pertuduhan – yang semuanya cacat.

Beliau berkata hakim perbicaraan ‘benar-benar terlepas pandang fakta nyata bahawa kejadian itu tidak berlaku dalam cara dia menilai bukti pembelaan’.

Dia juga secara asasnya telah tersilap kerana tidak meneliti pertuduhan dan mempertimbangkannya dengan teliti dari segi undang-undang tentang pecah amanah jenayah.

“Adalah jelas bahawa hakim bicara tidak menghiraukan anggapan tidak bersalah yang bertindak memihak kepada tertuduh,” katanya.

Hasnal Rezua Merican dan Muzzammil Merican mewakili Shamsul manakala Timbalan Pendakwa Raya Zaileen Nadia Zubir mewakili pihak pendakwaan.

Hasnal berkata pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.