Op Selamat 23: Lebih 100,000 saman dikeluar

Op Selamat 23: Lebih 100,000 saman dikeluar

Sejumlah 44,940 saman bagi kesalahan melebihi had laju dikeluarkan polis setakat semalam.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata kesalahan utama lain turut melibatkan langgar lampu isyarat, memandu guna telefon bimbit, guna lorong kecemasan, dan potong barisan. (Gambar Bernama)
TAPAH:
Polis mengeluarkan 104,235 saman melibatkan pelbagai kesalahan trafik dalam Op Selamat 23 setakat semalam, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Mohd Yusri Hassan Basri.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 49,339 saman membabitkan enam kesalahan utama iaitu melebihi had laju dengan 44,940 saman, diikuti melanggar lampu isyarat (2,034), memandu menggunakan telefon bimbit (869), memandu di lorong kecemasan (602), memotong barisan (573), dan memotong di garisan berkembar (321).

Setakat semalam juga, beliau berkata statistik menunjukkan penurunan pengeluaran saman trafik dikeluarkan polis bagi tempoh sama, berbanding tahun sebelumnya.

“Jadi kita akan buat kajian adakah (penurunan) pengeluaran saman ini disebabkan oleh sikap pengguna yang menghormati peraturan jalan raya ataupun kempen keselamatan, advokasi pencegahan yang kita lakukan sebelum ini.

“…(statistik terkini) akan saya berikan secara terperinci apabila tamat Op Selamat 23 pada hari ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Advokasi Op Selamat 23 Tahun Baharu Cina 2025 di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah.

Yusri berkata, bagi pelaksanaan Op Selamat 23 yang bermula sejak 28 Jan, pihak JSPT telah menempatkan 3,609 pegawai dan anggota untuk memastikan penugasan operasi berjalan lancar dan mencapai objektif.

Beliau berkata sepanjang Op Selamat 23, pihaknya telah mengenal pasti 407 lokasi ‘hotspot’ iaitu kawasan yang berlaku kesesakan dan 76 lokasi ‘blackspot’ (kawasan sering berlaku kemalangan) melibatkan jalan persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran dan lain-lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.