Polis guna alat imbasan 3D siasat semula kes Teoh Beng Hock

Polis guna alat imbasan 3D siasat semula kes Teoh Beng Hock

Polis berkata lima saksi lama sudah dipanggil untuk tanya soalan relevan dengan kes pada 2009 itu.

Mohd Shuhaily Mohd Zain
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata peralatan iimbasan 3D digunakan umtuk membina semula lokasi kejadian kes kematian Teoh Beng Hock. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menggunakan peralatan iimbasan 3D bagi membina semula lokasi kejadian kes kematian Teoh Beng Hock di Plaza Masalam, Shah Alam dalam bentuk 3D untuk memperkemaskan siasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pasukan polis melawat semula kawasan kejadian semalam dan menggunakam peralatan yang tidak ada 15 tahun lalu.

“Kita cuba membina semula dalam bentuk 3D dan sejauh mana ia dapat membantu dalam memperkemaskan lagi siasatan. Keputusannya akan diperoleh dalam tempoh seminggu ke dua minggu lagi.

“Setakat ini, kita sudah memanggil lima saksi lama untuk bertanya soalan relevan dengan kes, sekiranya ada maklumat baharu yang boleh mereka kongsi,,” katanya menurut Harian Metro selepas melawat semula lokasi kejadian malam tadi.

Suhaily berkata, secara keseluruhan terdapat lebih 40 saksi lama dan selain lima yang sudah dipanggil, polis akan memanggil saksi lain bagi membantu siasatan.

“Semua sedia maklum kami diarahkan oleh mahkamah untuk mengemukakan hasil siasatan pada Mei ini dan akan melengkapkan siasatan secepat mungkin bagi mendapatkan arahan selanjutnya daripada timbalan pendakwa raya sebelum diserahkan kepada mahkamah.

“Kehadiran bomba bagi membantu, di mana anggota yang mempunyai ketinggian dan saiz badan lebih kurang dengan Teoh melakukan beberapa situasi terjun sendiri atau dipaksa terjun dan sebagainya, sama ada boleh atau tidak daripada tingkap itu.

“Ujian itu bagi memuaskan hati bahawa perkara itu boleh berlaku dalam situasi berbeza.”

Katanya, dron juga digunakan untuk mendapatkan imej bangunan bagi memberi gambaran secara keseluruhan.

“Jadi apabila siap 3D itu nanti, kita dapat mengkajinya dengan lebih lanjut.”

Pada 21 Nov tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan polis melengkapkan siasatan kes kematian Teoh dalam tempoh enam bulan.

Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman ibu bapa mendiang terhadap ketua polis negara, pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, polis dan kerajaan sebagai responden pertama hingga keempat.

Teoh ditemui mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.

Ketika itu, Teoh merupakan setiausaha politik kepada Adun Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah yang juga exco Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.