2 ditahan cuba seludup dadah lebih RM600,000 ke Sarawak

2 ditahan cuba seludup dadah lebih RM600,000 ke Sarawak

Mereka ditahan dalam dua tangkapan berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pada 7 dan 8 Feb lepas.

handcuff
Menurut Ketua Polis KLIA Azman Shari’at, kedua-dua suspek ditan direman bagi bantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Polis menahan dua lelaki tempatan bersama dadah disyaki methamphetanmine seberat 18.97 kg menerusi dua tangkapan berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pada 7 dan 8 Feb lepas.

Ketua Polis KLIA, Azman Shari’at, berkata semua dadah yang dianggarkan bernilai RM607,200 itu dipercayai untuk dipasarkan ke Sarawak.

Katanya, suspek menggunakan modus operandi dengan menyembunyikan bungkusan dadah dalam kotak makanan dan mencampurkannya dengan makanan ringan lain bagi mengaburi pihak keselamatan.

“Suspek kemudiannya menggunakan perkhidmatan self check-in yang mungkin dianggap sukar untuk dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata suspek pertama ditahan pada 6.30 petang, 7 Feb lepas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD KLIA di kawasan balai pelepasan KLIA Terminal 2.

Katanya, hasil siasatan lanjut, suspek memandu arah polis ke sebuah bilik hotel di Sepang yang membawa penemuan satu kotak mengandungi lapan bungkusan plastik berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 8.43 kg.

“Susulan itu, suspek kedua ditahan di kawasan balai pelepasan KLIA Terminal 2 keesokan harinya, serta merampas satu kotak mengandungi 10 bungkusan plastik berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 10.54 kg.

“Semua dadah yang dirampas ini mampu dibekalkan kepada 94,875 orang penagih sehari.

“Kedua-dua suspek berusia 19 dan 20 tahun itu tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah dan dadah. Saringan awal air kencing suspek pertama positif dadah jenis methamphetamine manakala suspek kedua pula negatif dadah,” katanya.

Menurutnya, mereka direman tujuh hari hingga Jumaat depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.