PRK Ayer Kuning: Cabaran Umno bawa keluar pengundi PH

PRK Ayer Kuning: Cabaran Umno bawa keluar pengundi PH

Penganalisis berkata bukan laluan mudah untuk Umno melebarkan majoriti kerana cabaran utama meyakinkan pengundi PH khususnya penyokong DAP untuk undi calon mereka.

ph-bn
Penganalisis berkata PRK Ayer Kuning peluang terbaik BN memulihkan moral dan mengukuhkan semangat parti menjelang PRU.
PETALING JAYA:
Penganalisis menjangkakan gabungan kerajaan perpaduan berdepan laluan mudah mengekalkan DUN Ayer Kuning, namun keselesaan itu mungkin mencabarnya meraih majoriti tinggi.

Bakal diwakili Barisan Nasional (BN) selaku penyandang, penganalisis berpendapat kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) mampu menghasilkan kemenangan majoriti lebih 2,213 undi yang direkodkan pada PRU lalu.

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata di atas kertas gabungan undi BN (9,088) dan PH (6,875) boleh menang selesa namun cabaran utama adalah menarik bukan pengundi tradisi Umno iaitu kalangan penyokong DAP.

“Seperti disebut MB Perak (Saarani Mohamad), ia bukan laluan mudah untuk meyakinkan penyokong kerana mungkin beliau tahu keadaan (akar umbi) Umno dan DAP di negeri itu masih ada masalah,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata cabaran Umno antara lain sudah pasti membawa keluar seramai mungkin pengundi putih kerana jangkaan peratusan keluar mengundi pada PRK lazimnya rendah sekitar 65% berbanding pilihan raya utama.

“Ada juga kegusaran, pengundi tempatan akan fikir, keluar atau tidak Umno tetap akan menang. Jadi, keselesaan ini memberi cabaran Umno untuk menarik keluar pengundinya,” kata Azmi.

PRK DUN Ayer Kuning akan diadakan bagi mengisi kekosongan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, Sabtu lalu, selepas rebah ketika menghadiri perlawanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada PRU15 November 2022, bekas pemain bola sepak kebangsaan berusia 59 tahun itu menang dengan majoriti 2,213 undi dalam pertembungan lima penjuru.

Azmi berkata sentimen Melayu dan Islam yang menguasai kempen PRU lalu dijangka tidak mempengaruhi sokongan sesebuah parti pada PRK terbabit.

Namun, beliau berkata PRK itu bakal menjadi medan untuk mengukur kerjasama BN dan PH dalam kerajaan perpaduan selepas dua tahun bersama di Perak dan Putrajaya.

“Itu kayu ukur paling menarik untuk dilihat, bukan (sentimen) penyokong Melayu 55% itu tetapi (tumpuan) kepada penyokong Cina dan India yang lazimnya menyokong PH.

“Adakah mereka akan keluar. Itu yang menjadi persoalan menarik,” katanya.

Jangan pandang enteng PN

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, berkongsi pandangan sama bahawa momentum kemenangan besar BN pada PRK Mahkota dan Nenggiri mampu diteruskan di DUN Ayer Kuning, ditambah kesediaan Amanah memberi restu kepada Umno untuk meletakkan calon.

“Keadaan ini memberi kelebihan kepada BN kerana mereka berpotensi meraih sokongan tambahan daripada pengundi PH, khususnya masyarakat bukan Melayu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata prestasi Perikatan Nasional (PN) yang semakin melonjak selepas PRU15 tidak boleh dipandang enteng apabila calonnya mendapat 6,812 undi pada PRU lalu berbanding sekitar 2,000 undi pada PRU sebelum itu menerusi panji PAS.

“Ini membuktikan pertumbuhan sokongan yang signifikan daripada pengundi tempatan (terhadap PN),” katanya menjangkakan isu nasional seperti kos sara hidup, bekalan beras dan janji belum ditunaikan akan menghangatkan kempen PRK.

“Namun, isu tempatan juga tidak boleh diabaikan kerana sering menjadi faktor penentu dalam pilihan raya peringkat DUN.”

Hisommudin berkata PRK itu juga disifatkan peluang terbaik BN untuk memulihkan moral dan mengukuhkan semangat parti menjelang PRU manakala PN sudah pasti berusaha mengekang pelebaran pengaruh seterunya.

“PRK DUN Ayer Kuning bukan sahaja jadi medan pertempuran antara BN dan PN, tetapi juga ujian terhadap kestabilan kerajaan perpaduan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.