Sanusi mohon maaf kepada MB Selangor di mahkamah

Sanusi mohon maaf kepada MB Selangor di mahkamah

Ia sebahagian terma penyelesaian saman sivil kenyataan fitnah yang dibuat menteri besar Kedah itu mengenai projek pembersihan Sungai Klang.

amirudin shari n Sanusi Md Nor
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memfailkan saman fitnah terhadap Sanusi Nor berhubung kenyataan menteri besar Kedah itu mengenai projek pembersihan Sungai Klang.
SHAH ALAM:
Saman fitnah difailkan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari terhadap Sanusi Nor diselesaikan secara baik selepas menteri besar Kedah itu membuat permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi pagi ini.

Sanusi, selaku defendan, memohon maaf kepada Amirudin di mahkamah terbuka sebagai sebahagian daripada terma penyelesaian saman sivil berhubung kenyataan fitnah yang dibuat beliau mengenai projek pembersihan Sungai Klang.

“Kes ini telah diselesaikan dan ditutup sepenuhnya,” kata Hakim Rozi Bainun.

Bagaimanapun, hakim tidak membenarkan kenyataan maaf Sanusi itu didedahkan kepada umum.

Sebahagian daripada penyelesaian itu, Sanusi bersetuju untuk tidak menerbitkan atau membantu mengulangi atau menyebabkan kenyataan itu diterbitkan pada masa akan datang.

Di luar mahkamah, Amirudin memberitahu wartawan keputusan saman sivil itu menunjukkan tuduhan Sanusi adalah tidak berasas.

“Semua pihak harus berhati-hati (apabila membuat kenyataan) dan perlu elak daripada mengelirukan masyarakat. Ini sepatutnya memberi pengajaran kepada semua,” katanya.

Sementara itu, Sanusi berkata saman itu adalah peringatan bukan sahaja terhadap dirinya tetapi kepada semua supaya berhati-hati mengeluarkan kenyataan.

“Siapa cakap tidak betul kita saman lah, saya pun ada saman orang juga,” katanya.

Amirudin memfailkan saman itu pada 2023 selepas Sanusi mendakwa beliau menyalahgunakan kuasanya dengan “bersubahat” dengan ahli perniagaan Vincent Tan untuk memindahkan sebidang tanah negeri Selangor seluas 600 ekar (240ha) bernilai RM10 bilion kepada Berjaya Land Bhd secara percuma.

Sanusi seterusnya mendakwa akibat tindakan itu, kerajaan Selangor mengalami kerugian RM180 juta.

Dalam pembelaannya, Sanusi berkata beliau menjawab kenyataan fitnah yang dilemparkan menteri besar Selangor itu terhadap dirinya.

Tambahnya, menjelang PRN di enam negeri pada Ogos 2023, Amirudin telah membuat beberapa kenyataan menghinanya, menggelarnya “kurang ajar” dan “pengecut.

Tan dan Berjaya Land juga telah memfailkan saman fitnah terhadap Sanusi kerana didakwa membuat kenyataan berbaur fitnah mengenai projek pelebaran sungai bernilai RM700 juta yang dikenali sebagai Gerbang Maritim Selangor.

Pada awal bulan ini, ahli Bersatu Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard juga memohon maaf secara terbuka untuk menyelesaikan saman fitnah dikemukakan terhadapnya oleh anak syarikat Menteri Besar Selangor (Incorporated), Landasan Lumayan Sdn Bhd.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.