Hampir 28% jururawat letak jawatan kerana masalah peribadi, kata timbalan menteri

Hampir 28% jururawat letak jawatan kerana masalah peribadi, kata timbalan menteri

Lukanisman Awang Sauni berkata seramai 1,754 jururawat lantikan tetap letak jawatan sejak lima tahun lalu.

jururawat nurse
Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata, kebanyakan jururawat yang meletak jawatan itu kerana mahu ditempatkan di beberapa negeri yang popular seperti Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
KUALA LUMPUR:
Hampir 28% daripada 1,754 jururawat lantikan tetap Kementerian Kesihatan (KKM) yang meletak jawatan dalam tempoh lima tahun ini kerana masalah peribadi termasuk gagal memperolehi penempatan di kampung sendiri.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata, kebanyakan mereka ingin ditempatkan di beberapa negeri yang popular misalnya Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“Bagaimanapun, kita berdepan kekurangan jururawat di negeri lain seperti Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor.

“Ini memberikan cabaran kerana penempatan dibuat bagi menampung kekurangan di negeri-negeri tersebut,” katanya di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan tambahan Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai pengisian jururawat di beberapa negeri.

Lukanisman berkata faktor beralih ke sektor swasta dan meletak jawatan secara langsung juga mendorong peningkatan kekosongan jururawat di fasiliti KKM.

Sementara itu, Lukanisman memaklumkan pengisian jururawat di fasiliti KKM mencapai 88% dan sekurang-kurangnya 43,243 kekosongan lagi perlu diisi.

Katanya, jumlah kekosongan itu bukannya berlaku di fasiliti semasa tetapi yang bakal diwujudkan bagi memenuhi keperluan fasiliti baharu KKM dan pemohon jawatan akan dibuat selepas mana-mana projek mencapai tahap 85% siap.

“Kadang-kadang hospital berdepan masalah projek sakit dan fasiliti tidak tersedia walaupun kita menjanjikan fasiliti tersebut siap.

“Sama seperti fasiliti di Miri, Sarawak. Kita mempunyai angka yang sudah diluluskan, tetapi sehingga kini hospital tambahan terbabit belum beroperasi. Ini menyebabkan kita dilihat tak mengisi kekosongan berkenaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.