Jabatan kesihatan P Pinang turut siasat doktor ‘tak senonoh’

Jabatan kesihatan P Pinang turut siasat doktor ‘tak senonoh’

Dilaporkan semalam doktor berusia 43 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis setelah perintah reman tamat.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Dr Fazilah Shaik Allaudin berkata, tindakan selanjutnya ke atas doktor disyaki berkelakuan tidak senonoh terhadap pesakit masih dibincangkan bersama KKM. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan memulakan siasatan terhadap seorang doktor di sebuah hospital di George Town yang ditahan polis pada Rabu lepas kerana didakwa berkelakuan tidak senonoh di tempat kerja.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Fazilah Shaik Allaudin berkata, pihaknya juga memaklumkan kes membabitkan doktor lelaki berusia 43 tahun itu kepada Unit Integriti jabatan.

“Siasatan kes akan turut dilakukan JKNPP, namun kami perlu dapatkan hasil siasatan polis terlebih dahulu dan terdapat beberapa proses yang perlu diikuti.

“Tindakan selanjutnya ke atas pegawai tersebut masih dalam perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya, lapor Bernama.

Dilaporkan semalam doktor itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas perintah reman terhadapnya tamat.

Timbalan Ketua Polis Timur Laut Lee Swee Sake berkata, polis sedang melengkapkan kertas siasatan bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Doktor itu dipercayai memperdaya dan melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seorang pesakit wanita berusia awal 20-an ketika mangsa menerima rawatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.