
Sementara itu, seramai 26 individu termasuk pegawai penguatkuasa ditangkap, menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Ahmad Khusairi Yahaya.
“Kita percaya bahawa penguasa-penguasa yang kita tangkap ini bertindak melindungi,” kata Khusairi pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM.
Sebelum ini, pada 27 Feb lalu, SPRM mengesahkan penahanan lima penjawat awam disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kilang e-waste, di sebuah daerah di selatan tanah air.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM.
Ia menyusuli tahanan reman 18 individu, termasuk seorang pengarah syarikat bergelar ‘Datuk’, pada 25 Feb lepas, bagi membantu siasatan ke atas dakwaan menyogok penguat kuasa berkaitan kes memproses dan melupus e-waste yang tidak dibenarkan.
Pada 25 Feb lalu, SPRM serta imigresen dan Jabatan Alam Sekitar melancarkan operasi bersepadu Op X, yang menyaksikan serbuan ke atas 12 premis sekitar Selangor dan Johor.
Premis terbabit disyaki memproses dan melupus bahan mentah yang tidak dibenarkan seperti gentian kaca, plastik, besi dan logam, menurut laporan.
Sementara itu, hari ini, Khusairi memaklumkan seramai 420 pekerja asing ditahan imigresen, dan meminta wartawan mengajukan pertanyaan ke jabatan berkenaan untuk maklumat lanjut.