Kod QR diperluas kepada kereta atasi kesesakan di Tambak Johor

Kod QR diperluas kepada kereta atasi kesesakan di Tambak Johor

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata penggunaan kod QR hanya perlu tiga saat untuk menyelesaikan urusan imigresen di Tambak Johor.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata penggunaan kod QR bagi pelepasan imigresen di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor sejak tahun lalu ke atas motosikal serta penumpang bas terbukti berkesan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penggunaan kod respons pantas (QR) bagi urusan imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor akan diperluaskn kepada kereta tahun ini, kata Fadillah Yusof.

Timbalan perdana menteri berkata, pelaksanaan “proof-of-concept” itu akan diteruskan selepas ia dilaksanakan ke atas penumpang bas dan penunggang motosikal bagi menangani kesesakan di Tambak Johor sebelum ini.

“Dengan kod QR ini, hanya tiga saat dapat diselesaikan (urusan imigresen).

“Jadi, diharapkan itu akan meningkatkan kecekapan perkhidmatan kita untuk keluar masuk rakyat atau pun pengunjung di Malaysia, terutamanya di Johor,” katanya menurut Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor, di ibu negara.

Dengan adanya hab pelaburan Malaysia dan Singapura di Johor, Malaysia sebagai pengerusi Asean serta persiapan Tahun Melawat 2026, beliau berkata, tindakan segera perlu diambil bagi menangani kesesakan dan memastikan kelancaran di pintu masuk negara.

Menurutnya, model yang diterapkan di Johor akan dijadikan rujukan untuk dilaksanakan di lokasi lain (pintu masuk antarabangsa negara) bagi memastikan kelancaran kemasukan pelawat dan pelabur.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata penggunaan kod QR bagi pelepasan imigresen di BSI dan KSAB, Johor yang mula dilaksanakan tahun lalu ke atas motosikal serta penumpang bas terbukti berkesan.

Beliau membandingkan 90 dan 150 motosikal melepasi sesebuah lorong pemeriksaan dalam tempoh 15 minit sebelum serta selepas pelaksanaan kod QR.

“Jawatankuasa akan turut berganjak mencari jawapan kepada kesesakan di pintu masuk lain seperti Rantau Panjang, Sadao, Bukit Kayu Hitam, Padang Besar dan pintu masuk udara seperti di KLIA, Pulau Pinang, Kota Kinabalu serta Kuching.”

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, projek Rapid Transit System (RTS) dijangka siap mengikut jadual menjelang 31 Dis 2026 yang dapat membawa 10,000 hingga 20,000 penumpang setiap jam.

“Justeru, persiapan awal diperlukan bagi memastikan penyuraian trafik berkesan di Bukit Chagar, sebelah Malaysia dan lokasi RTS di Singapura.”

Katanya, turut dibincangkan keperluan mengganti dan menyelenggara kemudahan lama seperti eskalator serta lif berusia lebih 10 hingga 15 tahun, dengan jumlah perbelanjaan akan dimohon sudah dikenal pasti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.