Tak cukup keterangan dakwa Zeti berkait 1MDB, kata menteri

Tak cukup keterangan dakwa Zeti berkait 1MDB, kata menteri

Tetapi, Azalina Othman Said berkata siasatan ke atas suami Zeti Akhtar Aziz, Tawfiq Ayman masih diteruskan.

Bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz secara konsisten menafikan pembabitan dalam skandal 1MDB.
PETALING JAYA:
Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mempunyai keterangan mencukupi untuk mengemukakan pertuduhan terhadap bekas gabenor Bank Negara (BNM) Zeti Akhtar Aziz atas dakwaan memindahkan berbilion dana 1MDB ke luar negara.

Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said membuat pendedahan itu dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat terhadap soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengapa tiada tindakan dikenakan terhadap Zeti.

Lim juga bertanya sama ada siasatan penuh dijalankan ke atas aset Zeti, suami dan anak-anak mereka.

Azalina berkata pasukan siasatan jenayah pengubahan wang haram (Amla) polis tidak membuka kertas siasatan terhadap Zeti dan ahli keluarganya.

Tetapi, beliau mengesahkan Amla giat menyiasat suami Zeti, Tawfiq Ayman bersama pihak berkaitan lain, susulan laporan polis dibuat di balai polis Dang Wangi.

Beliau berkata Tawfiq kini disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Saya menjawab bagi pihak Jabatan Peguam Negara dan berdasarkan maklum balas diterima daripada mereka, keterangan yang ada tidak mencukupi untuk mengemukakan pertuduhan terhadap Zeti.

“Namun, perlu mengambil perhatian bahawa tindakan jenayah bagi mana-mana pihak tiada limitasi dari segi masa.”

Azalina turut mengulangi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di bawah polis telah menjalankan siasatan menyeluruh terhadap skandal 1MDB dan tidak menumpukan individu tertentu saja.

Zeti memberi keterangan sebagai saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Beliau secara konsisten menafikan sebarang salah laku dan berkata dakwaan terhadapnya serta keluarga “benar-benar palsu dan berniat jahat”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.