Tiada tindakan terhadap Zamri, Ahli Parlimen beri amaran persepsi pendakwaan terpilih

Tiada tindakan terhadap Zamri, Ahli Parlimen beri amaran persepsi pendakwaan terpilih

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata kenyataan pendakwah itu mungkin langgar Seksyen 504 dan 505 Kanun Keseksaan yang perlu disiasat segera.

Ramkarpal and Zamri Vinoth
Ramkarpal Singh (kiri) beri amaran kegagalan bertindak terhadap pendakwah Zamri Vinoth kerana persenda upacara Hindu akan menimbulkan persepsi pendakwaan terpilih.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh menggesa tindakan segera terhadap Zamri Vinoth berhubung hantarannya di media sosial yang mempersendakan agama Hindu, sambil memberi amaran kegagalan berbuat demikian berisiko mewujudkan persepsi pendakwaan terpilih.

Ramkarpal berkata, melepaskan Zamri tanpa hukuman ketika tindakan diambil terhadap penyampai radio Era FM, pelawak Harith Iskander dan pengguna media sosial Cecelia Yap bagi kes sama akan memberi mesej yang salah.

“Kegagalan berbuat demikian akan memberi gambaran pendakwaan terpilih terhadap DJ, Harith, dan Cecelia, manakala Zamri dibenarkan melanggar undang-undang secara terang-terangan tanpa dikenakan hukuman,” kata Ramkarpal dalam satu kenyataan.

“Saya berpendapat komen Zamri jelas bercanggah dengan pelbagai undang-undang seperti Seksyen 504 dan 505 Kanun Keseksaan yang patut disiasat segera.”

Seksyen 504 berkaitan penghinaan yang dibuat dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan manakala Seksyen 505 pula melibatkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

Ramkarpal, bekas timbalan menteri undang-undang dan reformasi institusi, juga menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memadam hantaran Zamri bagi mengelakkan mudarat.

“Keharmonian kaum mesti menjadi keutamaan kerajaan dan saya percaya majoriti rakyat Malaysia mahu tindakan tegas terhadap apa-apa yang mengancam hubungan masyarakat kita,” katanya.

Semalam, Zamri membuat hantaran di Facebook dengan mengatakan penganut Hindu yang melakukan upacara kavadi itu seperti ‘orang kena rasuk sambil mabuk todi’.

Kenyataannya itu menyusuli kontroversi mengenai tiga penyampai Era FM, yang dikecam secara meluas kerana mempersendakan amalan agama yang sama.

Ramkarpal menyifatkan kenyataan Zamri sebagai sangat tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif, terutama sekali sejurus selepas kontroversi Era FM.

Walaupun ketiga-tiga penyampai radio itu telah meminta maaf, beliau menyatakan keraguan bahawa Zamri akan melakukan perkara yang sama, dengan berkata pendakwah itu sebelum ini telah terlepas daripada undang-undang membuat kenyataan yang menghasut.

Pada 2019, Zamri ditahan kerana membuat kenyataan yang dianggap menghina agama Hindu. Dia disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 19981.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadapnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.