Bantahan URA untuk lemahkan Melayu bandar, kata PM

Bantahan URA untuk lemahkan Melayu bandar, kata PM

Anwar Ibrahim mendakwa ada pihak tertentu mahu Melayu di bandar dilemahkan supaya pemikiran kelompok terbabit boleh dikawal.

anwar ibrahim
Anwar Ibrahim memberi jaminan Akta Pembaharuan Semula Bandar memudahkan pembangunan semula bandar tanpa menjejaskan hak pemilikan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendakwa pihak yang menentang Akta Pembaharuan Semula Bandar (Akta URA) tidak mahu taraf kualiti hidup orang Melayu di bandar meningkat.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata ada pihak tertentu mahu ‘Melayu itu dilemahkan’ supaya kelompok terbabit dapat mengawal pemikiran mereka dengan terus menghasut melalui agama dan kaum.

“Dia nak kekalkan orang Melayu jadi begitu rendah pendidikannya. Miskin supaya dia boleh peralatkan (orang Melayu).

“Ini dinamakan ‘dependency syndrome’, rakyat itu dilemahkan supaya dia boleh kawal.

“Ilmunya sedikit, jadi boleh dihasut melalui agama, melalui kaum. Ini masalahnya,” katanya pada perjumpaan bulanan warga Kementerian Kewangan.

Anwar pada sidang Dewan Rakyat bulan lalu turut menjawab kebimbangan dibangkitkan blok pembangkang bahawa rang undang-undang (RUU) itu, yang berkemungkinan dibentangkan pada Jun boleh menggantikan penduduk lama.

Beliau memberi jaminan RUU itu hanya akan memudahkan pembangunan semula bandar tanpa menjejaskan hak pemilikan.

Pembangkang sebelum ini mendakwa undang-undang dicadangkan itu adalah kaedah halus untuk menggantikan orang Melayu dan India yang miskin.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) akan menentang rang undang-undang itu kerana ia boleh mengganggu keharmonian.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming bagaimanapun menafikan rang undang-undang itu disasarkan kepada kaum tertentu.

Dalam pada itu, Anwar mengkritik pemimpin PN yang hanya tahu membangkang, tanpa memberi penyelesaian alternatif.

“Kalau dia bagi cadangan, pilihan, tak apa. (Kalau) cadangan (kerajaan) tidak begitu menarik, kami cadang begini. Tak ada juga,” katanya.

Beliau turut menekankan projek pembangunan semula bandar itu melibatkan kerjasama antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selain penglibatan sektor swasta.

“Ia bagi memastikan projek itu dibangunkan dalam masa lebih cepat, kemudahan lebih besar. Jika dulu satu bilik, kini tiga bilik… jika dulu satu bilik air, kini dua.

“Ada taman permainan, kawasan hijau, gerai yang bersih… itu perancangan kita,” katanya yang berharap projek itu dapat dilaksanakan tahun ini juga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.