
Ti Lian Ker percaya Lim sepatutnya kekal dalam pimpinan tinggi DAP memandangkan parti itu memerlukan kekuatan “suara untuk minoriti”.
Beliau berkata, janji DAP kepada kesamarataan, atau slogan “Malaysian Malaysia” dalam bahaya jika individu seperti Lim yang menjuarai perjuangan itu, disingkir dan digantikan dengan “Mandarin”.
Menurut Ti, “Mandarin” merujuk kepada pegawai empayar yang terkenal dalam budaya Cina, menggunakan pengaruh dan penyalahgunaan kuasa mereka bagi menyingkirkan pihak dianggap ancaman dan menjengkelkan.
Mereka sering digambarkan sebagai orang tidak sabar-sabar “menyembah” dan untuk menggembirakan tuan politik, katanya.
Ti berkata, parti komponen pemerintah dibelenggu pemimpin seperti itu pada masa lalu, dengan “Mandarin” lebih berminat mewujudkan zon selesa menyingkirkan pihak dilihat duri dalam daging.
“Kumpulan ini berusaha melindungi kepentingan mereka sendiri,” katanya kepada FMT.
Bekas timbalan menteri itu berkata, sikap tersebut menyumbang kepada penurunan sokongan terhadap MCA dalam kalangan masyarakat Cina, seterusnya berlaku peralihan dukungan kepada DAP.
Katanya, orang seperti Lim, bapanya Kit Siang, dan mendiang Karpal Singh tiada segan silu bersuara menentang pihak berkuasa dan menyeru kesamarataan, termasuk keterangkuman lebih besar.
DAP tidak perlu mengulangi kesilapan mengundi pemimpin “yes man” dan hanya berminat melindungi kedudukan mereka sekarang apabila berada dalam kerajaan.
“Mereka mungkin berasa dengan meninggalkan orang seperti Guan Eng, mereka boleh menjarakkan diri daripada perjuangan asal kepada untuk Malaysia yang lebih terangkum, yang mungkin disalahtafsir dan menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat Melayu yang mereka cuba pikat,” katanya.
Pemimpin Umno secara konsisten menggesa DAP mempertimbang meninggalkan slogan Malaysian Malaysia, jika parti itu mahu mendapat sokongan meluas orang Melayu.
Ti mengulas hantaran Facebook Lim awal hari ini, yang mana beliau nafi menarik diri daripada pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) esok.
Sebelum ini, FMT melaporkan terdapat “desakan ramai” untuk menyingkirkannya daripada kedudukan pimpinan parti.
Beberapa puak tertentu dalam DAP menyokong Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengambil alih jawatan pengerusi.
Namun, sebilangan besar ahli menyokong Lim meneruskan kepimpinan, dengan melihatnya sebagai personaliti kuat, tidak gentar berdepan PKR dan Umno.
Ti berkata, menggulingkan orang seperti Lim mungkin tidak sesuai kepada penyokong tradisi DAP.
“Guan Eng menjadi jambatan penghubung parti dengan penyokongnya. DAP berkuasa melalui jambatan itu. Membakarnya akan menimbulkan kemarahan,” katanya.