‘Sukar berurusan dari segi apa?’ MCA terkejut kenyataan MB Pahang

‘Sukar berurusan dari segi apa?’ MCA terkejut kenyataan MB Pahang

Pengerusi MCA Pahang Chong Sin Woon menyifatkan kenyataan itu sebagai satu perbandingan yang sengaja memberi tanggapan negatif terhadap kredibiliti parti itu.

perhimpunan agung mca
Chong Sin Woon berkata MCA gesa Wan Rosdy Wan Ismail memperincikan aspek dimaksudkan sebagai ‘sukar berurusan’ dengan parti itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
MCA Pahang terkejut dengan kenyataan Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail yang mendakwa lebih mudah berurusan dengan DAP berbanding rakan komponennya sendiri dalam Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

Pengerusinya Chong Sin Woon turut menyifatkan kenyataan itu sebagai satu perbandingan yang sengaja memberi tanggapan negatif terhadap kredibiliti parti itu, sambil menuntut Wan Rosdy memperincikan aspek dimaksudkan sebagai ‘sukar berurusan’ dengan mereka.

“Sebagai Pengerusi BN Pahang, apa mesej hendak Wan Rosdy sampaikan?

“Untuk lebih adil, beliau perlu memperincikan apa yang ‘sukar berurusan dengan MCA’? Berkenaan urusan atau isu apa dan siapa? Ini penting supaya kami khususnya MCA Pahang dapat mengetahui secara jelas apa yang dimaksudkan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Berita Harian melaporkan Wan Rosdy berkata kehadiran wakil DAP dalam pentadbiran beliau membantu memudahkan urusan kerajaan negeri dan kadangkala lebih mudah berurusan dengan Exco DAP berbanding dengan MCA.

Sebagai contoh, kata beliau, DAP banyak menyokong inisiatif kerajaan negeri seperti pemberian bantuan kepada penjawat awam.

Mengulas lanjut, Chong turut mempersoalkan pujian Wan Rosdy terhadap DAP berkenaan nasihat berkaitan isu ketirisan dana negeri.

“Adakah sebab mereka mengaku salah kerana tohmahan terhadap kilang Lynas dan benteng Tembok Besar China di Kuantan?” katanya.

Bagaimanapun beliau menambah, pihaknya akan terus bekerja keras demi kepentingan rakyat bagi mengembalikan sokongan masyarakat khususnya kaum Cina.

“Kami akan terus mempertahankan ideologi parti yang moderat dan tidak ekstrem. Selebihnya, kami serahkan kepada masyarakat untuk menilai sendiri antara MCA dan DAP.”katanya.

Exco Pahang kini dianggotai seorang wakil DAP (Adun Triang Leong Yu Man) dan seorang wakil PKR (Adun Teruntum Sim Chon Siang).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.