
Lee Hwok Aun, seorang felo kanan di Program Pengajian Malaysia di Institut Iseas-Yusof Ishak di Singapura, berkata Zaid nampaknya menyokong pemerintahan autoritarian yang berpanjangan.

“Adakah dia mengatakan bahawa kita perlu buka ruang untuk seseorang menjadi perdana menteri selama 20 tahun andai kata muncul watak berkarisma yang boleh membawa Malaysia ke tahap yang difikirkan gemilang, maka membanteras perbezaan pendapat dan memusnahkan pembangkang politik sesuatu yang boleh diterima?
“Ini hujah yang agak berbahaya, terutama pada masa ini apabila kebanyakan negara sedang menuju ke arah pemerintahan autokratik oleh seorang pemimpin,” katanya kepada FMT.
Zaid pada Isnin menyifatkan cadangan had dua penggal sebagai tidak berguna, atas alasan Malaysia bukan seperti Korea Selatan, Indonesia, dan Filipina yang pernah mengalami pemerintahan tentera selama beberapa tahun.
Bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu mengambil contoh Singapura, China, dan Rusia yang menurutnya tidak akan capai kejayaan sekarang tanpa pemimpin jangka panjang seperti Lee Kuan Yew, Deng Xiaoping, Xi Jinping dan Vladimir Putin.
“Banyak negara bergelut untuk mencari pemimpin yang hebat. Sebilangan kecil bernasib baik kerana mempunyai pemimpin sebegitu, dan jika suatu hari nanti kita menemui mereka, bukankah kita mahu mereka memerintah seketika untuk mengemudi negara?” katanya di platform X.
Lee berkata contoh pemerintahan autokratik satu parti di Rusia dan China yang diajukan Zaid itu tidak munasabah untuk menolak cadangan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri.
Beliau menjelaskan bahawa walaupun dari segi teori seseorang perdana menteri boleh terus memegang kuasa selagi dia mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, namun tidak ada jaminan perdana menteri itu akan dapat mengekalkan sokongan semata-mata kerana dia seseorang yang dinamik, cekap, dan menyatukan.
Menurutnya, kepimpinan yang hambar akan sukar untuk bertahan dalam landskap politik hari ini yang berdasarkan gabungan pelbagai parti, walaupun keupayaan dan kesanggupan untuk bertolak ansur mungkin mengatasi keberanian untuk melakukan reformasi.
“Sekurang-kurangnya, sekarang tidak mungkin seorang perdana menteri mengekalkan kuasa dengan menindas demokrasi, seperti yang berlaku pada 1980-an dan 1990-an,” katanya, merujuk kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, pengasas Projek Sama, Thomas Fann, berkata pemerintahan Mahathir selama 22 tahun telah melemahkan kebebasan badan kehakiman dan Parlimen dengan menumpukan kuasa pada cabang eksekutif, khususnya pada jawatan perdana menteri.
“Kebebasan bersuara dan kebebasan media juga terjejas manakala undang-undang zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri digunakan terhadap lawan politik dan aktivis,” katanya, dan menambah Malaysia masih belum pulih daripada kemerosotan demokrasi sedemikian.
Beliau juga mendakwa bahawa pengukuhan kuasa di tangan perdana menteri membawa kepada kronisme, rasuah sistemik dan, akhirnya, kleptokrasi di bawah Najib Razak.
Sebahagian daripada satu pakej
Fann berkata mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri satu daripada banyak reformasi yang perlu untuk memastikan adanya batasan keinstitusian serta semak dan imbang terhadap kerajaan.
“Kita harus belajar daripada sejarah baru-baru ini bahawa kuasa yang tidak dikawal boleh membawa kepada autoritarianisme dan rasuah yang hampir memusnahkan negara,” katanya.
Lee juga menegaskan bahawa menetapkan penggal jawatan tertinggi mesti seiring reformasi lain seperti penggal tetap Parlimen dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bebas.
“Tanpa penggal penuh yang dimandatkan dan tarikh tetap pilihan raya yang ditentukan oleh SPR yang bebas, perdana menteri akan terdedah kepada sabotaj oleh pembangkang melalui penghijrahan en bloc, atau dia menggunakan langkah-langkah terdesak atau korup untuk berpegang pada kuasa,” katanya.