Kastam rancang tambah alat bantuan operasi elak kebocoran risikan, kata KP

Kastam rancang tambah alat bantuan operasi elak kebocoran risikan, kata KP

Anis Rizana Mohd Zainudin berkata rancangan itu melibatkan penerapan teknologi terkini untuk perangi jenayah rentas sempadan.

kapai
Ketua Pengarah Kastam Anis Rizana Mohd Zainudin berkata kastam juga menumpukan perolehan mesin pengimbas kargo di pelabuhan utama bagi menangani aktiviti penyeludupan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Kastam merancang untuk menambah aset termasuk alat bantuan operasi pada tahun ini bagi memperkukuhkan sistem pemantauan dan memastikan tiada kebocoran dalam perkhidmatan serta risikan dalam memerangi jenayah rentas sempadan.

Ketua Pengarahnya Anis Rizana Mohd Zainudin berkata rancangan itu melibatkan penerapan alatan teknologi terkini untuk meningkatkan kecekapan pengawasan, memperkukuh keselamatan operasi dan mempertingkatkan integriti.

“Perancangan ini bertujuan untuk memperkuatkan kapasiti kastam dalam menghadapi cabaran serta memastikan keberkesanan dalam memerangi jenayah rentas sempadan,” katanya kepada FMT, mengulas rancangan menambah peralatan baharu kastam pada tahun ini.

Mengulas lanjut, Anis berkata perolehan alat bantuan operasi itu termasuklah untuk kegunaan cawangan narkotik dan pasukan Customs Operational Battle Force Response Assault (Cobra).

Katanya, perolehan pelbagai mesin pengimbas juga akan diteruskan pada tahun ini dengan tumpuan khusus untuk perolehan mesin pengimbas kargo di pelabuhan-pelabuhan utama bagi menangani aktiviti penyeludupan.

Menurutnya, kastam juga dijangka menerima tiga unit mesin pengimbas backscatter dan 24 unit kenderaan penguatkuasaan untuk meningkatkan kecekapan pasukan penguatkuasaan.

“Pada Dis lalu, kastam memperolehi 10 unit alat pengesan dadah mudah alih yang telah mula digunakan sepenuhnya pada tahun ini.

“Kastam juga memfokuskan kepada pengukuhan kerjasama antarabangsa bagi membanteras penyeludupan dan memberikan latihan berterusan kepada pegawai agar integriti dan kemahiran dapat dipertingkatkan,” katanya.

Sementara itu, Anis berkata sasaran kastam bagi tahun ini yang utama adalah dari segi kutipan hasil yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan iaitu sebanyak RM67.25 bilion.

Katanya, Kastam optimis bahawa kutipan hasil yang ditetapkan itu dapat dicapai.

“Kastam juga terus memperkemaskan usaha untuk meningkatkan kutipan hasil melalui beberapa strategi dan sasaran dalaman yang telah ditetapkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.