Pastikan bekalan di kedai SARA cukup, kata Fomca

Pastikan bekalan di kedai SARA cukup, kata Fomca

Fomca berkata peruncit dan agensi kerajaan perlu bekerjasama pastikan bekalan mencukupi untuk memanfaatkan penerima SARA.

supermarket
Mulai 1 April lalu, 5.4 juta isi rumah terima bantuan di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), meningkat lapan kali ganda berbanding 700,000 sebelum ini.
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa digesa memantau 3,500 premis terbabit program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi memastikan bekalan barangan sentiasa mencukupi untuk menjamin keberkesanan inisiatif berkenaan.

Gesaan dibuat Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) yang mahu penerima insentif terbabit yang jumlahnya meningkat kepada 5.4 juta mulai 1 April berbanding 700,000 sebelum ini, boleh menebus barang dengan selesa.

Kementerian Kewangan turut mengumumkan peningkatan jumlah bantuan kepada RM2,100 setahun berbanding RM1,200 sebelum ini bagi isi rumah penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan eKasih.

Butiran-penyaluran-bantuan-Sumbangan-Asas-Rahmah-(SARA)-pada-tahun-ini
Butiran penyaluran bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada tahun ini. (Kementerian Kewangan)
T Saravanan.
T Saravanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Fomca T Saravanan berkata pihaknya menyambut baik inisiatif kerajaan itu yang bukan hanya meringankan kos sara hidup tetapi tingkat kuasa beli.

Namun beliau menegaskan keberkesanan program itu bagi memastikan golongan memerlukan dapat membeli barangan asas, memerlukan kerjasama peruncit dan agensi kerajaan.

“Kekurangan bekalan akibat peningkatan permintaan boleh menjejaskan kelancaran dan penerima terpaksa menunggu pula.

“Peruncit harus bekerjasama dengan pembekal dan agensi berkaitan bagi memastikan stok serta logistik dikendalikan dengan baik,” katanya kepada FMT sambil meminta pemantauan harga turut diperhebatkan.

Tambah lagi peruncit

Setiausaha Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia Mohamed Suhubudeen Sahubar Ali pula berharap kerajaan mempertimbangkan untuk menambah lagi jumlah peserta terutama kedai runcit dalam program SARA.

“Kita sambut baik kerajaan tambah dari 700 ke 3,500 premis tetapi kebanyakannya pasaraya besar, berilah peluang kepada peruncit kecil.

“Kalau diberi peluang boleh bantu tingkatkan pendapatan peruncit kecil apabila jualan harian meningkat disebabkan orang ramai mempunyai kuasa beli menerusi SARA,” katanya.

Selain SARA, kerajaan turut memberikan STR yang kedua-duanya membabitkan peruntukan RM13 bilion menerusi Belanjawan 2025 untuk membantu meringankan beban golongan dari pelbagai kategori.

Sebelum ini, penganalisis ekonomi Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpandangan langkah mitigasi seperti meningkatkan bantuan tunai itu dapat mengurangkan kesan penyasaran subsidi petrol RON95 yang dijangka dilaksana berperingkat.

Pada 28 Mac lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata 85% rakyat tidak akan terjejas dengan penyasaran subsidi bahan bakar itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.