Pengarah syarikat rugi RM5.5 juta ditipu urusan tukaran mata wang

Pengarah syarikat rugi RM5.5 juta ditipu urusan tukaran mata wang

Mangsa membuat transaksi pertukaran mata wang ringgit ke mata wang Vietnam untuk pembayaran gaji dan urusan syarikatnya di sana.

RINGGIT
Mangsa melakukan pertukaran dalam jumlah besar sebanyak RM6.5 juta tetapi hanya menerima mata wang Vietnam bernilai RM900,000, kata Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Seorang pengarah syarikat mengalami kerugian RM5.5 juta selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan dalam urusan pertukaran mata wang asing.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor menerima laporan daripada mangsa iaitu seorang lelaki berusia 42 tahun yang membuat transaksi pertukaran mata wang ringgit ke mata wang Vietnam untuk pembayaran gaji dan urusan syarikatnya di negara tersebut.

“Siasatan mendapati mangsa mengenali seorang lelaki dari Miri, Sarawak, yang sebelum ini berjaya melakukan beberapa transaksi pertukaran mata wang dalam jumlah kecil.

“Pada penghujung Mac, mangsa melakukan pertukaran dalam jumlah besar sebanyak RM6.5 juta tetapi hanya menerima mata wang Vietnam bernilai RM900,000,” katanya dalam kenyataan semalam.

Hussein berkata mangsa diminta membuat 15 transaksi bayaran ke tujuh akaun bank berbeza sehingga mencecah RM6.5 juta.

“Mangsa menyedari dirinya ditipu selepas suspek memberikan pelbagai alasan dan mengelak daripada membayar baki pertukaran mata wang asing,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya berwaspada dalam urusan pertukaran mata wang asing yang tidak sah dan melakukan transaksi tersebut hanya dengan syarikat yang berdaftar dengan Bank Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.