Pukul lelaki guna topi keledar, peniaga didenda RM4,300

Pukul lelaki guna topi keledar, peniaga didenda RM4,300

Muhammad Ariff Izzat Shaharudin mengaku bersalah bergaduh dan memukul seorang lelaki menggunakan topi keledar.

Mahkamah Majistret Ayer Keroh
Mahkamah Majistret Ayer Keroh mengenakan denda RM3,500 dan RM800 kepada tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mahkamah Majistret Ayer Keroh mendenda seorang peniaga RM4,300 yang mengaku bersalah bergaduh dan memukul seorang lelaki menggunakan topi keledar.

Harian Metro melaporkan Majistret N Shivashangari menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Ariff Izzat Shaharudin, 27.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana memukul Yusri Omar, 52, dengan topi keledar hingga cedera pada 27 Mac lalu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Majistret mengenakan denda RM3,500 atau penjara enam bulan, jika gagal membayar denda.

Sementara itu, Ariff dan Yusri turut didenda RM800 atau penjara dua bulan selepas masing-masing mengaku bersalah bergaduh pada tarikh dan di tempat sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dua tertuduh kemudian membayar denda itu.

Mengikut fakta kes, pergaduhan Ariff dan Yusri di persimpangan masuk Taman Cheng Utama tular di Facebook, sebelum pegawai polis yang menonton video itu membuat laporan bagi siasatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.