
Ketua Pengarah Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata operasi pemunggahan dihentikan serta-merta di pelabuhan itu dan pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) PTL diaktifkan.
“Dua unit ‘oil boom’ dipasang menggunakan beberapa bot. Selain itu, pemantauan melalui udara dengan menggunakan dron dibuat oleh pasukan ERT dan berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan, tiada lagi tompokan minyak kelihatan di permukaan air,” menurut kenyataan.
JAS turut melaksanakan pemantauan berterusan di PTL serta kawasan pantai sekitar Pasir Gudang serta memberikan pemakluman rasmi kepada Pihak Berkuasa Pelabuhan Singapura (MPA).
Berdasarkan laporan setakat ini, kawasan pantai Changi, Singapura dan terminal feri tercemar dengan minyak.
“Setakat tengah hari ini, pencemaran minyak di laut dalam kawasan perairan Malaysia berjaya dikawal, dan pihak PTL diarahkan untuk melaporkan status tindakan kawalan serta pembersihan minyak dari semasa ke semasa sehingga operasi dihentikan,” katanya.
JAS bekerjasama dengan Jabatan Laut Wilayah Selatan dan Lembaga Pelabuhan Johor bagi menjalankan pemantauan di pantai serta laut untuk memastikan kawasan tersebut bebas daripada pencemaran minyak.
Semua langkah berkenaan diambil selepas JAS menerima aduan mengenai tumpahan minyak di PTL berpunca daripada kebocoran paip yang menyalurkan minyak bahan api sulfur yang sangat rendah (VLSFO) dari tangki terminal ke kapal MT Epitome di jeti PTL.
“Dianggarkan sebanyak 1.6 m³ minyak telah tertumpah ke laut,” katanya.