Yayasan bawah Mais sumbang seragam kepada 194 pelajar

Yayasan bawah Mais sumbang seragam kepada 194 pelajar

Pelajar Islam dan bukan Islam terima dua set pakaian seragam sekolah daripada Yayasan Islam Darul Ehsan, manakala bantuan lain akan disalur secara berperingkat.

Pengerusi YIDE Mazlan Mansor sampaikan sumbangan kepada juga mangsa kebakaran di PPS Masjid Putra Heights. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 194 pelajar yang terkesan akibat kebakaran saluran gas di Putra Heights, Selangor terima sumbangan dua set pakaian seragam sekolah daripada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) melibatkan keseluruhan RM77,600.

Sumbangan yang bertujuan memastikan pelajar dapat kembali ke sekolah tanpa gangguan kelengkapan asas itu disampaikan Pengerusi Mazlan Mansor di Masjid Putra Heights.

Beliau yang juga timbalan pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkata YIDE kenal pasti jumlah pelajar yang terkesan bagi memastikan bantuan dapat diberikan secara efektif, melalui kerjasama rapat Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS).

“Sebanyak 194 pelajar dari 40 sekolah dikenal pasti antara yang terkesan melibatkan 134 murid sekolah rendah terdiri daripada 103 murid Islam dan 31 murid bukan Islam manakala 60 pelajar sekolah menengah iaitu 42 pelajar Islam dan 18 pelajar bukan Islam,” katanya.

Selain pakaian seragam sekolah, YIDE akan salur bantuan lain secara berperingkat seperti alat tulis, buku dan peralatan persekolahan.

Mazlan berkata YIDE dengan kerjasama kerajaan Selangor turut menyediakan sembilan pengangkutan khas bagi pelajar yang ditempatkan di pusat penempatan sementara Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia, bagi memastikan mereka dapat hadir ke sekolah.

Selain itu, 17 pelajar institusi pengajian tinggi turut menerima bantuan khusus berjumlah RM500 seorang, manakala lapan pelajar taska menerima RM100 seorang.

“Sebarang perkembangan lanjut mengenai bantuan kepada mangsa tragedi ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Mazlan berkata Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan beberapa ketetapan untuk dilaksanakan oleh Mais dan agensi berkaitan, termasuk memastikan bantuan pendidikan disalurkan kepada pelajar yang terjejas bagi membolehkan mereka meneruskan persekolahan seperti biasa.

“Baginda menzahirkan rasa sedih dan dukacita serta berharap agar mangsa dan keluarga mereka tabah menghadapi ujian ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.