Purata tarif Malaysia ke atas import AS hanya 5.6%, bukan 47%

Purata tarif Malaysia ke atas import AS hanya 5.6%, bukan 47%

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz berkata Malaysia tidak setuju dengan metodologi dan asas digunakan untuk tarif AS.

Tengku Zafrul
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz berkata Malaysia kekal komited kepada kaedah diplomatik.
KUALA LUMPUR:
Purata tarif sebenar ke atas import Amerika Syarikat (AS) hampir 5.6%, bukan 47% seperti didakwa Washington, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz.

Beliau berkata, Malaysia tidak bersetuju dengan asas pengiraan AS bagi 47% dan sedang mendapatkan penjelasan berhubung metodologi itu.

“Asas pengiraan kurang tepat ini menyebabkan Malaysia dikenakan tarif timbal balas pada kadar 24%,” katanya dalam sidang media di sini.

Menurutnya, Malaysia kekal komited kepada kaedah diplomatik.

“Kami komited sepenuhnya untuk mendapatkan resolusi menggalakkan yang mengekalkan akses pasaran, menarik pelaburan asing berterusan dan menyokong kesejahteraan pekerja serta perniagaan Malaysia.

“Sehubungan itu, Malaysia tidak akan mengambil sebarang tindakan balas buat masa ini.”

Katanya, kerajaan akan mengkaji semula unjuran pertumbuhan KDNK 2025 sebanyak 4.5-5.5% berdasarkan penilaian impak lebih komprehensif, walaupun pertumbuhan masih dijangkakan, ia mungkin pada kadar lebih perlahan.

Katanya, kerajaan akan mengkaji semula unjuran pertumbuhan KDNK 2025 sebanyak 4.5 – 5.5% berdasarkan penilaian impak lebih komprehensif, walaupun pertumbuhan masih dijangkakan, ia mungkin pada kadar lebih perlahan.

Bagi menangani kesan tarif ini, beliau berkata, kerajaan mengaktifkan Pusat Kawalan Geoekonomi Kebangsaan (NGCC).

“Kementerian sedang menjalankan kajian impak ke atas sektor eksport utama ke AS. Penemuan itu akan dibentangkan kepada NGCC yang dijadualkan bermesyuarat tidak lama lagi.

“Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bersetuju mengadakan mesyuarat kedua NGCC Isnin depan.”

Katanya, beliau akan mempengerusikan mesyuarat khas menteri ekonomi Asean pada 10 April ini untuk menangani implikasi lebih luas akibat langkah tarif AS.

“Mesyuarat itu akan merangkumi aliran perdagangan dan pelaburan serantau, kestabilan makroekonomi serta tindak balas selaras Asean.

“Mesyuarat pemimpin Asean seterusnya akan membincangkan langkah kolektif untuk mengurangkan potensi gangguan kepada perdagangan serantau, rantaian bekalan dan pelaburan rentas sempadan.”

Tengku Zafrul berkata, beberapa pihak berkepentingan percaya masih terlalu awal untuk menilai sepenuhnya kesan tarif itu menjelang pelaksanaannya 9 April ini.

“Tetapi, sesetengah pelabur bimbang dengan implikasi terhadap rantaian bekalan mereka, khasnya dalam ruang pembuatan kontrak.”

Respons Selangor

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata beliau akan berbincang dengan pakar minggu depan berhubung langkah diperlukan bagi mengatasi tarif timbal balik 24% dikenakan AS.

Menurutnya, Malaysia dan Selangor masih “mempunyai ruang” bergerak kerana salah satu eksport terpenting negara – produk semikonduktor – dikecualikan tarif baharu itu.

Tetapi, katanya, tarif tinggi itu mungkin masih memberi kesan negatif kepada perusahaan kecil dan sederhana.

“Selepas 10% diberikan kepada Singapura, kita mempunyai kadar tarif kedua terendah di Asean. Tetapi, sebagai negara Asean, kita akan bersolidariti dengan jiran kita.

“Jadi, saya akan bincang dengan pakar minggu depan untuk mengambil langkah susulan bagi pihak kerajaan negeri bagi menangani kesan tarif,” katanya selepas sidang media di bangunan Dewan Undangan Negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.