Isu tauliah mengajar: Sampai masa saya akan jawab, kata calon PN

Isu tauliah mengajar: Sampai masa saya akan jawab, kata calon PN

Abd Muhaimin Malek enggan layan tuduhan menipu dalam permohonan dapatkan tauliah mengajar agama.

Calon Perikatan Nasional, Abd Muhaimin Malek (tengah) bergambar bersama anak muda ketika program bersama pengundi anak muda di Ayer Kuning.
TAPAH:
Calon Perikatan Nasional (PN) PRK Ayer Kuning, Abd Muhaimin Malek enggan melayan sebarang provokasi berhubung tuduhan kononnya beliau menipu dalam permohonan mendapatkan tauliah mengajar agama di Perak.

Muhaimin yang juga pengerusi PN Tapah berkata beliau akan membuat penjelasan berhubung dakwaan tersebut bila sampai masanya.

“Kalau isu itu (tauliah) saya tak nak beri komen lagi buat masa ini.

“Tak mengapa, biarlah mereka (lawan) nak main isu itu. Jika sampai masanya, Insya-Allah kita akan jawab,” katanya ketika ditemui dalam program kempen.

Terdahulu, Amanah Perak membangkitkan dakwaan bahawa Muhaimin menipu dalam permohonan untuk mendapatkan tauliah mengajar agama di negeri itu.

Pengerusinya Asmuni Awi berkata dakwaan itu sangat serius dan menyifatkan ia mencemarkan nama baik institusi agama dan derhaka kepada Sultan Perak sebagai ketua agama Islam di negeri itu.

Di Perak, pentauliahan agama dikendalikan oleh jabatan mufti negeri melalui proses formal yang merangkumi ujian bertulis, temu duga dan tapisan latar belakang, dengan kelulusan akhir hanya diberikan dengan perkenan Sultan.

Menurut Asmuni, peraturan semasa melarang individu yang memegang jawatan politik atau bertanding dalam pilihan raya daripada mendapatkan tauliah.

Muhaimin yang juga pengetua sebuah sekolah agama di Perak dilaporkan enggan mengulas dakwaan itu ketika ditemui selepas penamaan calon semalam.

PRK pada 26 April ini menyaksikan Muhaimin berdepan calon Barisan Nasional, Mohamad Yusri Bakir dan wakil Parti Sosialis Malaysia, KS Bawani.

Seramai 31,897 pengundi berdaftar di Ayer Kuning dengan pengundian awal ditetapkan pada 22 April.

PRK itu diadakan susulan kematian Adun Umno, Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lalu.

Ishsam menang kerusi itu pada PRU lalu dengan majoriti 2,213 undi dalam pertandingan lima penjuru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.